Search
Close this search box.

_

RAPID BUS SIASAT CIAPAN TULAR MELIBATKAN KAKITANGAN

Kuala Lumpur, 10 April – Susulan sebuah ciapan di Twitter yang tular di media sosial semalam, Rapid Bus Sdn Bhd, pengoperasi bas henti-henti Rapid KL telah melancarkan siasatan serta-merta untuk mengenalpasti Kapten Bas terbabit agar tindakan susulan dapat diambil.

Ciapan oleh pengguna Twitter yang menggunakan akaun @azlanalanlan memaparkan gambar seorang lelaki sedang menunggu bas di perhentian bas yang kosong. Beliau mendakwa penumpang telah berlari mengejar bas, akan tetapi pintu bas ditutup oleh Kapten Bas. Kejadian dikatakan berlaku di Jalan Klang Lama sekitar 3:10 petang.

“Kami memandang serius dakwaan tentang kejadian tersebut yang melibatkan etika dan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan Rapid Bus,” kata Rapid Bus dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Siasatan awal menggunakan data kotak hitam yang dirakam secara automatik menunjukkan bas terbabit telah berhenti di perhentian tersebut. Rapid Bas akan meneliti rakaman litar tertutup serta menemu ramah Kapten Bas bagi melengkapkan siasatan, dan sekiranya Kapten Bas didapati bersalah, tindakan tatatertib sewajarnya akan diambil.

“Rapid Bus memohon maaf atas kejadian ini dan memberi jaminan tindakan susulan yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkara sebegini tidak akan berulang di masa hadapan,” tambah kenyataan itu lagi.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat lanjut mengenai insiden ini diminta untuk menghubungi talian bantuan Rapid KL di 03-7885 2585 bagi membantu siasatan.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App