KUALA LUMPUR, 22 September – “Sebagai seorang wanita dan seorang ibu, saya tidak sampai hati memikirkan seorang saudara wanita lain berjalan di dalam kegelapan awal pagi untuk mencari mesin ATM. Lalu saya tawarkan pertolongan untuk meminjamkan RM50 bagi beliau memperbaharui langganan My30,” itu kisah di sebalik keindahan budi Wan Nur Athirah Azlan, yang memenangi hati seorang pelanggan yang menghamburkan pujian untuk pegawai khidmat pelanggan Stesen MRT Sungai Jernih awal pagi semalam.
“Apalah sangat. Orang susah, wajiblah kita tolong. Kita orang Perak memang terkenal dengan baik budi bahasa. Dia datang kaunter; tapi tak cukup duit bila periksa ‘purse’. Dia tanya mana mesim ATM paling dekat; dan saya bagitahulah dalam hospital KPJ Kajang. Sebab fikirkan dia seorang wanita; nak turun balik dan jalan seseorang pergi KPJ dalam keadaan yang masih gelap pada masa itu, saya tawarkan bagi pinjam duit saya,” kata wanita yang berasal dari Menora dekat Kuala Kangsar, Perak.
Dalam mesej ‘terima kasih’ pelanggan berkenaan kepada @myrapid, beliau menulis, “Assalam & Salam Sejahtera Pihak MRT, Untuk makluman pihak Tuan/Puan, hari ini (21.9.2020) dalam pukul 7 pagi, kejadian berlaku di MRT Sungai Jernih di mana saya tidak cukup wang untuk ‘renew’ (baharui) MY30. Tetapi, ada seorang staf MRT bernama Athirah sudi meminjamkan wang beliau.
“Saya sangat berterima kasih dan terharu atas pertolongan beliau tersebut dalam keadaan saya kesusahan dan memerlukan pertolongan. Jika tidak saya terpaksa berjalan jauh mencari ATM. Oleh kerana itu, saya ingin menyatakan rasa kagum dan terharu atas kebaikan staf MRT tersebut.
“Saya juga mencadangkan pihak MRT memberikan ganjaran atau insentif sepatutnya terhadap beliau atau mana-mana staf yg sanggup membantu orang awam seperti saya. Ianya juga mencerminkan imej MRT yang terbaik di mata masyrakat. Sekian, terima kasih,” tulis pelanggan berkenaan.
Tambah Wan Nur Athirah, “Saya tak kenal pelanggan tu. Tapi, hati saya terus tersentuh dengan kisah dia dan saya terus percaya terhadap beliau. Masa tu, duit dia ada RM20 sahaja. Baki dalam kad pula di bawah RM5. Jadi, saya bagi pinjam RM50. Saya ‘top up’ RM40 dan serahkan pada beliau RM10. Dia janji akan ‘transfer’ balik pada saya RM50,” kata bekas penuntut Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak dalam bidang pengaturcaraan komputer dan ibu kepada dua orang anak.
Kisah kecemerlangan Wan Nur Athirah dalam menjalankan tugas beliau mendapat pujian daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (PGCEO) Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias, yang sememangnya sentiasa menggalakkan staf bekerja melangkaui tanggungjawab asas atau ‘take the extra mile’ dalam menyuntik elemen kecemerlangan dalam tugas masing masing.
“Saya amat terharu di atas tindakan spontan yang diambil oleh Nur Athirah. Ini mencerminkan tahap khidmat pelanggan yang terbaik kerana beliau telah memberi perkhidmatan yang melebihi jangkaan. Sikap terpuji beliau patut menjadi contoh kepada yang lain,” kata Encik Muhammad Nizam, yang berasal dari Temoh dekat Tapah, Perak.
Berkongsi pandangan Encik Muhammad Nizam, Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Kajang, Tuan Haji Azmi Mohd Zain berharap apa yang dilakukan oleh Wan Nur Athirah akan menjadi contoh kepada staf-staf lain khususnya mereka di barisan depan.
“Saya juga terharu dan bangga dengan apa yang dilakukan oleh Wan Nur Athirah. Semoga ia menaikkan semangat rakan-rakan CSO lain. Selain memahami perasaan pelanggan, Athirah juga sedar peranannya untuk mempromosikan produk My30 dan juga menjaga hati pelanggan pelanggan setia Rapid KL. Syabas Wan Nur Athirah,” kata Tuan Haji Azmi.