Search
Close this search box.

_

UJIAN MENUNJUKKAN PETANDA POSITIF: PEMBUKAAN PENUH LRT LALUAN KELANA JAYA TERTAKLUK KEPADA KESTABILAN DAN PIAWAIAN KESELAMATAN

KUALA LUMPUR, 11 November 2022 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, akan memastikan kestabilan dan keselamatan sistem kawalan tren automatik (ATC) sebelum membuat keputusan untuk membuka LRT Laluan Kelana Jaya sepenuhnya lebih awal daripada yang dijadualkan.

Pembukaan laluan LRT Kelana Jaya kepada orang ramai adalah juga tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan sekiranya ujian-ujian yang dijalankan berjaya tanpa menunjukkan sebarang gangguan sistem.

En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad berkata, “Setakat hari ini, pihak Rapid Rail telah menjalankan beberapa ujian sistem dan pergerakan tren bagi menilai kestabilan. Hasil ujian awal menunjukkan petanda positif. Namun begitu, kami tetap akan melaksanakan beberapa ujian lagi bagi memastikan ia stabil dan mematuhi piawaian keselamatan kami sebelum menyambung operasi kerana keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.”

Ujian keatas sistem tersebut dilakukan oleh pasukan kejuruteraan Rapid Rail bersama dengan pihak pengeluar peralatan asal (OEM) Thales Group.

“Saya yakin diatas kebolehan pihak Rapid Rail dalam menangani masalah ini. Semenjak gangguan sistem dikesan, siasatan diaknostik awal dan penukaran komponen sistem ATC telah dilakukan oleh pakar teknikal dan pasukan kejuruteraan dalaman yang terlatih, bersama-sama dengan pihak OEM, selaku pengeluar sistem tersebut,” kata En. Azharuddin.

LRT Laluan Kelana Jaya telah dibuka kepada umum pada tahun 1998. Pada ketika ini, laluan itu adalah laluan yang tersibuk di antara jajaran sistem rel kendalian Rapid KL.

Sistem ATC bagi laluan tersebut adalah sistem yang telah digunapakai sejak hampir 25 tahun yang lalu dan memang telah direncanakan untuk penaikan taraf. Namun demikian, kerosakan yang dialami sekarang merupakan kerosakan awal yang diluar jangkaan.

Pada bulan lepas, pihak Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Berhad telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta yang diperlukan untuk fasa pertama penaikan taraf sistem berkenaan

Language:

Search