KUALA LUMPUR, 6 Mac 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan tujuh laluan baharu dengan 18 buah van bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 10 Mac 2025. Pemilihan kawasan baharu ini adalah sejajar dengan keperluan serta kepadatan penduduk sekitar.
Berikut merupakan laluan-laluan yang akan dilancarkan:
1) Laluan T466B (UNITEN – Bangi) – Aplikasi: MOBI
Laluan ini akan memberi manfaat kepada para pelajar serta kakitangan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan sekitarnya serta memberi lebih banyak pilihan kepada para pengguna.
2) Laluan T253B (LRT Wangsa Maju – Sri Rampai) – Aplikasi: KUMMUTE
Menghubungkan para pengguna perkhidmatan tren serta perkhidmatan bas dari lorong bas Jalan Genting Kelang iaitu laluan 250 (Stesen LRT Wangsa Maju – Lebuh Ampang) serta 251 (AU3 Jentayu – Chow Kit).
3) Laluan T254B (Titiwangsa – Chow Kit) – Aplikasi: KUMMUTE
Laluan ini memberi kesalinghubungan kepada para pengguna yang menaiki bas dari lorong bas Jalan Genting Kelang yang turun hentian KL155 Hospital Kuala Lumpur (Barat) untuk meneruskan perjalanan.
4) T606B (Bandar Kinrara – Jalan Puchong) – Aplikasi: TREK RIDES
Memberi kesalinghubungan kepada pengguna perkhidmatan bas dari laluan 600 (Puchong Utama – Pasar Seni) serta lorong bas Jalan Klang Lama untuk melengkapkan perjalanan menuju ke destinasi.
5) T651B (Taman OUG – Kuchai Lama) – Aplikasi: TREK RIDES
Laluan ini menghubungkan para pengguna perkhidmatan bas 600 (Puchong Utama – Pasar Seni) serta 640 (Hab Bas Sri Manja – HAB Bas Pasar Seni) untuk memasuki pusat bandar.
6) T255B (Bukit Antarabangsa – Setiawangsa) – Aplikasi: TREK RIDES
Laluan ini merupakan laluan baharu yang mana kawasan ini belum mempunyai jaringan pengangkutan awam disekitarnya. Kini warga setempat dapat melengkapkan perjalanan lebih banyak pilihan.
7) T202B (Taman Melati – Gombak Setia) – Aplikasi: TREK RIDES
Laluan ini merupakan penambahbaikan dari laluan sedia ada T203 (Taman Melati – Gombak Setia) yang akan digantikan sepenuhnya kepada T202B bermula 10 Mac 2025. Ia menawarkan kawasan yang lebih luas serta hentian yang lebih banyak kepada para pengguna.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria berkata, “Sejak perkhidmatan On-Demand ini diperkenalkan pada tahun 2023, 19 laluan telah beroperasi dan menjelang bulan Jun nanti, lebih banyak laluan yang akan diperkenalkan secara berperingkat, seiring dengan penerimaan van-van baharu bagi memudahkan lagi perjalanan para pengguna. Kami di Rapid Bus ingin menjadikan perkhidmatan awam sebagai pilihan utama orang ramai untuk menuju ke destinasi.”
Sejak perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini diperluaskan ke 10 laluan baharu pada 1 Februari 2025 lalu, jumlah penumpang harian tertinggi yang dicatatkan telah menjangkau 1,928 orang pengguna.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah dengan menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan masing-masing) dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Tambang promosi RM1 dilanjutkan untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi menikmati perkhidmatan ini. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my