KUALA LUMPUR, 3 April – Bersenariokan kemalangan jalan raya yang menjadi punca kepada kebakaran pada tren dan seterusnya gangguan perkhidmatan, MRT Laluan Putrajaya, yang kini dalam fasa persediaan menjelang pembukaan fasa tidak lama lagi, sesi latihamal pelan tindakan kecemasan (ERP) pertama bersama-sama dengan agensi-agensi tindakan kecemasan (ERA) di Stesen Sri Damansara Sentral telah berjaya dijalankan pada 22 Mac lalu.
Dengan nama kod ‘X-PERT’, latihan yang turut melibatkan para pegawai dan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Hospital Selayang dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bermula pada 10.14 pagi dengan ‘insiden’ sebuah kereta melanggar tiang lampu, yang terjatuh ke laluan trek antara Stesen Sri Damansara Sentral dan Sri Damansara Barat sebelum ‘dilanggar’ oleh sebuah tren empat gerabak yang menghala ke Kampung Batu.
Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Tuan Haji Mohd Ramli Shafie berharap latihamal berkenaan akan memberikan pengalaman yang bermanfaat dan berguna kepada warga kerja Laluan Putrajaya dan semua agensi-agensi yang terlibat khususnya dengan sedikit gambaran tentang situasi kecemasan yang mungkin berlaku dalam operasi.
“Sebagai langkah untuk memulakan operasi tidak lama lagi, sesi latihamal ini amat penting sebagai persediaan kakitangan Rapid Rail khususnya staf operasi bagi mengukur tahap kecekapan terutama warga kerja di bahagian hadapan untuk bersiap siaga menangani situasi kecemasan sekiranya berlaku.
Sesi latihamal ini juga menguji keberkesanan pihak pengurusan dalam berkomunikasi dengan pihak ketiga khususnya pihak berkuasa dalam mengendalikan situasi krisis. Selain itu, latihan ini akan turut menilai ‘Standard Operating Procedure’ (prosedur operasi standard) yang akan digunakan bagi memastikan ianya relevan dan sesuai dipraktikkan.
“Alhamdulillah, program ERP pada hari ni berjalan lancar dgn penglibatan kakitangan Operasi dan Kejuruteraan Rapid Rail selain sokongan yang amat baik daripada Agensi-agensi yang terlibat. Peluang seperti ini memang ditunggu-tunggu oleh kakitangan Operasi dan Kejuruteraan Rapid Rail bagi mempraktikkan skil dan pengetahuan yang dipelajari seperti yang kita ketahui, kebanyakkan kakitangan ini adalah kakitangan baru diambil bekerja. Cabaran seperti ini akan memberikan pengalaman berguna kepada kakitangan dalam menghadapi situasi kecemasan yang berlaku terutama di dalam tren dan di stesen,” kata Haji Mohd Shafie.
Memerhatikan latihan menyelamat kecemasan daripada dalam tren itu sendiri, Pengarah Projek MRT Laluan Putrajaya, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Dato’ Amiruddin Ma’aris berkata adalah penting untuk menguji keberkesanan latihan kecemasan ERP dan tahap responsif agensi Kerajaan yang berkaitan kerana dalam keadaan sebenar, nyawa boleh menjadi taruhan.
“Dengan adanya latihan sedemikian, ini akan membolehkan semua pihak memastikan SOP mereka diselaraskan, dan penambahbaikan boleh dibuat sambil kita mengambil pengajaran daripada situasi krisis,” kata Amiruddin.
Tambahnya lagi, Rapid Rail sebagai pengendali dan MRT Corp sebagai pemaju projek dan pemilik aset akan terus membuat penambahbaikan untuk memastikan tahap perkhidmatan boleh dipercayai (reliable) dan setanding dengan perkhidmatan metro bertaraf dunia.