KUALA LUMPUR, 27 Jun- Memperagakan angka 192 dan 193 sebagai nombor pengenalan tren, dua set tren pertama di bawah projek ‘Kuala Lumpur Additional Vehicles 27’ (KLAV27) sudah menyertai operasi harian Rapid KL LRT Laluan Kelana Jaya selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan; serta mendapat permit kelulusan beroperasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Mula digunakan semalam dalam operasi laluan rel urban negara yang paling sibuk, kedua-dua tren set empat-gerabak model Bombardier Innovia Metro 300 yang baru ini dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan; berbanding 14 unit set tren bermodel sama, yang digunakan sejak 2018 dan diperolehi di bawah inisiatif KLAV14.
Menurut satu kenyataan media Rapid KL hari ini, kesemua 27 set tren yang diperolehi di bawah projek KLAV27, yang secara keseluruhan bernilai RM1.7 bilion, dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan termasuk dalam sistem brek, sistem pintu penumpang, sistem pengurusan tren, sistem kuasa sokongan (auxialiary), dan pengenalan ‘Digital Route Map Display’. Ini adalah sebahagian daripada Sistem Informasi Penumpang yang diintegrasikan dengan sistem pintu, yang sebelum ini berjenis LED.
Setakat ini, lapan set tren KLAV27 sudahpun berada di Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang termasuk dua yang memasuki operasi harian semalam. Enam yang lain masih dalam pelbagai peringkat ujian, pentauliahan dan kelulusan daripada APAD sebelum disuntik masuk perkhidmatan harian. Ujian sistem brek, ujian kuasa tarikan tren (train traction power) serta ujian tanpa gagal (fault free run) adalah antara siri-siri ujian atau pentauliahan yang telah dilalui oleh tren-tren ini sebelum diluluskan oleh APAD.
Untuk perjalanan mudah dan lancar bersama Rapid KL, para pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah, dengan menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui ‘Google Play Store’ atau ‘Apple App Store’.