PULAU PINANG, 24 April 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang akan menambah tiga (3) zon baharu perkhidmatan Rapid Penang On-Demand yang beroperasi mulai 26 April 2025.
Tiga zon baharu tersebut adalah:
Zon | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
---|---|---|
George Town | 6 | Kummute |
Jelutong | 4 | Kummute |
Bayan Lepas | 4 | Kummute |
Pengoperasian Rapid Penang On-Demand bagi ketiga-tiga zon baharu ini akan memberi tumpuan kepada kawasan pusat bandar George Town serta kawasan
berpenduduk padat di Jelutong dan Bayan Lepas. Perkhidmatan ini akan menghubungkan penumpang dari kawasan yang mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan bas sedia ada, menerusi penyelesaian batuan pertama dan batuan terakhir (first mile and last mile), sama ada melalui sambungan ke
perkhidmatan bas Rapid Penang sedia ada atau secara terus ke destinasi pilihan penumpang.
Pelaksanaan tiga (3) zon baharu Rapid Penang On-Demand ini dijangka dapat menggalakkan lebih ramai orang beralih kepada pengangkutan awam berbanding penggunaan kenderaan persendirian. Secara tidak langsung usaha ini mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menangani isu kekurangan ruang parkir, terutamanya di kawasan pusat bandar George Town.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, sejumlah 14 buah van akan digunakan bagi menyokong pengoperasian Rapid Penang On-Demand di ketiga-tiga zon baharu ini.
“Seiring dengan penambahan zon baharu ini, Rapid Bus komited untuk terus memperluaskan akses perkhidmatan Rapid Penang On-Demand di kawasan yang
sebelum ini kurang mendapat liputan perkhidmatan bas Rapid Penang. Bagi menyokong pelaksanaan fasa seterusnya, Rapid Bus akan menambah 21 buah van secara berperingkat yang dijangka pada bulan Jun 2025,” ujar Ku Jamil.
Sebagai langkah penambahbaikan, Rapid Bus akan menggabungkan pengoperasian Rapid Penang On-Demand di zon Paya Terubong dan Farlim bermula Mei ini. Penyusunan semula ini dijangka dapat meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan Rapid Penang On-Demand dan bas Rapid Penang sedia ada di samping menyediakan perkhidmatan terus ke destinasi pilihan penumpang.
Perkhidmatan ini bermula dengan hanya dua (2) buah van di zon Farlim dan mencatatkan kadar purata seramai 120 penumpang sehari. Dengan peluasan ke tiga zon baharu iaitu Gurney, Sunway dan Paya Terubong, jumlah keseluruhan van yang digunakan bagi perkhidmatan ini telah meningkat kepada 17 buah. Melalui penambahan ini, perkhidmatan Rapid Penang On-Demand terus menerima sambutan yang memberangsangkan dengan kadar purata penumpang harian terkini mencecah seramai 753 orang.
Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam. Penumpang akan menikmati tawaran tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan.
Penumpang boleh membuat tempahan perkhidmatan ini melalui aplikasi Kummute dan membuat pembayaran seperti berikut:
- Pas Mutiara My50
- Kad Debit/Kredit
- DuitNow QR
- Pas OKU Smile
- e-Dompet
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, boleh melayari laman media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my