Search
Close this search box.

_

TARIAN SINGA DALAM TREN SUNTIK KECERIAAN DI LRT

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Menyuntik elemen keceriaan di stesen-stesen LRT, para penumpang hari ini dihiburkan dengan persembahan istimewa tarian singa di dalam tren, yang dianjurkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.

Persembahan unik yang menghiburkan oleh anggota Pertubuhan Tarian Naga dan Singa Kok Hing semasa di dalam tren ketika perjalanan daripada stesen LRT Masjid Jamek ke stesen Pasar Seni mengukir senyuman di kalangan wajah para pelanggan, yang turut menerima hadiah limau mandarin daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain dan para pegawai kanan lain. 

Prasarana, yang menjadi payung kepada perkhidmatan tren dan bas Rapid KL, menganjurkan acara istimewa itu di bawah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat untuk meraikan rombongan 30 anak yatim berbangsa Cina dari Rumah Charis – Home for the Children Kuala Lumpur bagi memberi pengalaman menyeronokkan menaiki tren dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Para tetamu itu dibawa menaiki bas Rapid KL daripada rumah mereka di Taman Yarl ke Stesen LRT Masjid Jamek untuk menyertai acara berkenaan, yang turut menyaksikan persembahan tarian singa di Stesen LRT Pasar Seni dan di hab bas Pasar Seni. Rombongan anak-anak yatim itu kemudian diraikan dalam satu majlis jamuan Tahun Baru Cina di sebuah hotel.

Turut hadir pada acara berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi dan Transformasi), Encik Ang Yoke Kee; Ketua Modal Insan Kumpulan Prasarana, Encik Tomin Salikan; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Haji Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yassin; dan para pegawai kanan lain.

Inisiatif menyuntik elemen keceriaan di stesen-stesen dan hab bas sememangnya adalah satu strategi utama Prasarana dalam usaha meningkatkan minat di kalangan warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan Rapid KL.

Rapid KL kini mengendalikan kira-kira 1 juta penumpang sehari dengan lebih 735,000 penumpang menggunakan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel; dan 348,000 penumpang bas Rapid KL.

Language:

Search