KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2022 – Rapid Rail Sdn Bhd dan pihak kontraktor bagi pembinaan projek transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya akan menjalankan sesi ujian migrasi sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.
Sesi ujian ini akan bermula 10 Oktober 2022 sehingga Disember 2022 melibatkan operasi tren ujian dari Stesen MRT Putrajaya Sentral sehingga Stesen MRT Kwasa Damansara. Tren-tren ujian ini akan berhenti di semua stesen MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 dan tidak akan mengambil penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, En. Amir Hamdan berkata pihaknya akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan oleh kontraktor bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi. Kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti sedia ada ketika ujian dijalankan.
“Pihak Rapid Rail akan memaklumkan kepada pengguna sekiranya ujian ini dapat diselesaikan lebih awal daripada jadual. Sesi ujian ini adalah salah satu pra syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa selain untuk mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya,” ujar Amir.
Bagi memastikan penumpang tidak keliru, notis akan dipasang pada pintu tren yang terlibat bagi melarang pengguna daripada memasukinya. Selain itu, pihak operasi telah menampal notis dan pengumuman di stesen turut dijalankan bagi makluman penumpang.
Makluman menerusi platform media sosial Rapid KL turut dijalankan. Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03- 78852585.