Para pengguna perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan juga MRT Laluan Kajang disarankan supaya membuat ujian saringan kesihatan jika mempunyai gejala ekoran dua penumpangnya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
1. Penumpang 1 (menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya pada 3 Julai):Penumpang tersebut di dalam mesej Twitter kepada pihak Rapid KL mengatakan beliau menaiki tren dari Stesen LRT Subang Jaya pada kira-kira jam 6.50 pagi dan turun di KL Sentral pada hari berkenaan.
Beliau kembali menggunakan perkhidmatan LRT untuk perjalanan pulang; dari Stesen KL Sentral untuk ke Subang Jaya pada 4.15 petang. Beliau baru disahkan positif Covid-19 hari ini.
2. Penumpang 2 (menggunakan MRT Laluan Kajang pada 5 Julai):Di dalam email kepada Rapid KL, penumpang berkenaan mengatakan beliau menaiki tren dari Stesen MRT TTDI ke Stesen MRT Bukit Dukung untuk menjalani saringan Covid-19 pada pukul 4.30 petang. Beliau juga baru disahkan positif Covid-19 hari ini.
Para pengguna perkhidmatan Rapid KL diingatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mematuhi SOP sepanjang masa untuk membantu mencegah penularan pandemik Covid-19.
Rapid KL turut mengingatkan bahawa mereka yang sudah menjalani ujian saringan atau calit diingatkan supaya mengasingkan diri daripada orang lain sehingga mendapat keputusan mengesahkan anda negatif.