SUBANG, 25 September – Kalau nak dikira golongan lelaki yang pandai memasak di Kumpulan Prasarana memanglah tak terkira. Ramai yang ‘chef-chef’ hebat khususnya mereka yang pernah bertugas di Tanah Suci Mekah. Namun, tidak ramai yang mempunyai akaun ‘youtube’ sendiri untuk memperagakan skil memasak dan berkongsi resipi dengan ‘netizen’ seperti Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias.
Berasal dari Temoh, Perak dan secara profesion adalah seorang akauntan, Encik Muhammad Nizam sememangnya mempunyai minat yang mendalam untuk memasak. Kerapkali juga beliau masak resipi kegemarannya ‘Nasi Ayam Hainan’ untuk staf pada majlis-majlis lepas. Maka, tidak menghairankanlah jika beliau mempunyai akaun ‘Youtube’ sendiri untuk memperagakan skil memasak beliau.
Dengan posting pertama pada 18 Oktober 2014, saluran https://m.youtube.com/user/mySecretRecipeTV milik Encik Muhammad Nizam sudah menjana 690,327 tontonan di mana 458,835 tontonan adalah untuk perkongsian beliau membuat roti canai. Dengan tontonan dibuka kepada peminat luar negara dengan ramai pengikut beliau dari Amerika Syarikat dan Eropah, perkongsian cerita dibuat dalam Bahasa Inggeris.
“Selain roti canai, saya juga pernah berkongsi cara-cara membuat tosai dan ‘cinnamon roll’ dalam saluran ‘Youtube’ saya. Hari ini, saya memilih untuk berkongsi dengan anda semua cara-cara membuat roti canai,” katanya pada sesi santai ‘Menebar dengan PGCEO’, yang diadakan di Kompleks Rapid Rail di Subang.
Menggalakkan staf untuk ‘multi-tasking’ dan memiliki sebanyak mungkin skil kehidupan, penampilan Encik Muhammad Nizam adalah sebagai sokongan kepada program SETIA atau ‘Skill Enhancement Towards Individual Aspirations’, yang dahulunya dikenali sebagai ‘Kemahiran Hidup’ anjuran Divisyen Modal Insan.
Kira-kira 30 staf menghadiri sesi berkenaan di mana Encik Muhammad Nizam menerangkan secara terperinci proses menyiapkan roti canai daripada memilih bahan dan mengadun tepung sehinggalah kepada menebar dan membakar roti canai berkenaan.