Search
Close this search box.

_

RENDANG UNTA PENGUBAT RINDU DI PAGI SYAWAL

MEKAH, 26 Jun – Bermenukan rendang daging unta dan nasi impit untuk juadah Hari Raya, warga kerja Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang bertugas untuk operasi tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Mekah meraikan 1 Syawal sambil menyimpan rahsia hati masing-masing.

Sementara ada yang jelas terkesan dengan perpisahan dengan keluarga tersayang dengan wajah-wajah murung melayan telefon bimbit masing-masing, jamuan khas Hari Raya, yang turut menyajikan nasi tomato dan ayam masak merah resipi Syawal, sedikit sebanyak membantu mengubat rindu di hati dan memberikan sedikit keseronokan kepada kira-kira 80 kakitangan Prasarana yang tidak berpeluang berhari raya di kampung.

Selain beberapa staf tetap yang bertugas di Arab Saudi untuk projek ini, ada di kalangan mereka tiba di Mekah seawal bulan April lepas untuk ditugaskan sementara dengan MMMSL, yang bakal memulakan operasi tujuh hari bersempena dengan ibadat haji antara 29 Ogos dan 4 September ini. Persiapan, bagaimanapun, bermula sejak akhir tahun lepas.

Untuk merawat hati yang pilu, ada yang mengambil inisiatif mengubat rindu berkenaan dengan bersama-sama berkunjung ke Masjidil Haram untuk mengambil berkat dan merakam detik bersejarah peribadi untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri di masjid teragong untuk umat Islam di hadapan Kaabah.

Kumpulan staf Rapid Bus, yang ditugaskan untuk mengendalikan pengurusan kawalan orang ramai di stesen untuk MMMSL nanti di bawah Encik Aminza Abdul Aziz, berpakaian lengkap berbaju Melaju dengan bersampin, untuk meraikan Hari Raya dengan bergaya di Masjidil Haram.

Seawal 2 pagi mereka sudah memulakan perjalanan dari pangsapuri staf di Awali kuarters untuk ke Masjidil Haram bagi memastikan untuk mendapat tempat yang selesa untuk beribadat di dalam Masjidil Haram itu sendiri. Kerana, menjelang Subuh, ia akan penuh sesak dengan ramai yang tiada pilihan tetapi bersolat di kawasan padang lapang dan jalan raya di luar Masjidil Haram. Ada juga yang datang daripada kuarters staf di Depoh MMMSL di Arafah.

Selesai solat sunat Aidil Fitri, mereka semua kembali ke pangsapuri staf, yang terletak di kawasan Awali dan kira-kira 10km daripada Masjidil Haram, untuk menghadiri jamuan hari raya berkenaan walaupun ada yang memilih untuk terus beribadat sepanjang hari di masjid agung itu.

Berucap pada majlis jamuan berkenaan, Pengarah Operasi MMMSL, Haji Muhammad Burhanordin Ismail merakamkan ucapan penghargaan kepada semua staf dan kakitangan yang terpaksa menyambut Hari Raya di Mekah atas komitmen dan dedikasi mereka.

“Tentunya, kita ada perasaan sedih dan pilu ketika ini kerana berjauhan daripada keluarga; dan ianya adalah sesuatu yang ‘natural’. Kita semua mahu bersama-sama dengan isteri, anak, sanak saudara dan sahabat handai pada Hari Raya. Kerana itu, saya amat menghargai dedikasi dan komitmen Tuan-tuan semua untuk melakukan pengorbanan ini.

“Kita mempunyai amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk membantu memudahkan para jemaah untuk menunaikan ibadat haji mereka apabila sampai musim haji. Kita bertanggungjawab untuk perjalanan kira-kira 350,000 orang jemaah untuk menggunakan tren MMMSL.

“Bayangkan jika tiada perkhidmatan tren ini, mereka akan perlu menggunakan pengangkutan awam lain seperti bas awam. Bayangkan tambahan kepada kesesakan yang sedia ada sekarang. Dengan adanya MMMSL ini, seluruh 2 juta jemaah sebenarnya mendapat manfaat sama ada secara langsung ataupun cara tidak langsung,” kata Haji Burhanordin, yang menyertai Prasarana pada 2015 selepas berkhidmat dengan kontraktor terdahulu, China Railway Construction Corporation (CRCC).

Bertugas dengan KTMB sebagai Pengurus Operasi Terowong sebelum itu, Haji Burhanordin dipinjamkan kepada CRCC pada 2010 apabila Syarikat berkenaan, yang juga bertanggungjawab menyediakan keseluruhan fasiliti berkenaan, memulakan operasi MMMSL pada tahun berkenaan.

Kata Haji Burhanordin: “Kita akan menjadi lebih sibuk lagi selepas ini khususnya dengan kedatangan ramai lagi staf selepas ini. Proses melatih para pekerja tempatan bakal bermula tidak lama di samping menyiap-siagakan stesen-stesen dan operasi percubaan tren-tren yang akan digunakan.

“Saya juga sangat-sangat terima kasih kerana mereka yang menganjur majlis hari ini khususnya dalam menyediakan rendang daging unta hari ini. Daging unta sememangnya istimewa kat Arab; tetapi untuk disediakan oleh orang-orang kita di kalangan staf, sememangnya sesuatu yang hebat,” tambah beliau.

Bertugas di Rapid Kuantan, Fadli Harun mengaku bahawa ramai di kalangan mereka yang ‘tangkap sayu’ sejak beberapa hari menjelang Hari Raya kerana rindukan kampung halaman dan orang tercinta di Malaysia.

“Kerana itu, ada di kalangan kami yang hatinya lebih keras sikit, sentiasa mengadakan aktiviti seperti beribadat dan bersedekah di Masjidil Haram serta sesi makan-makan untuk menggelakkan mereka daripada terlalu fikirkan anak isteri di Malaysia. Alhamdulillah, ia memberi impak yang amat positif dengan kami menyedut kekuatan daripada rakan-rakan lain untuk menyempurnakan amanah tugas di Tanah Suci Mekah ini. Insya-Allah,” tambah Fadli.

Language:

Search