KUALA LUMPUR, 12 Januari 2021 – Perkhidmatan rel urban dan bas henti-henti kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan tetap beroperasi daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan mulai esok.
Ini termasuk perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor; Rapid Penang di Pulau Pinang dan Seberang Prai, Rapid Kamunting di bandar Taiping, Perak; dan Rapid Kuantan di Pahang.
Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan beroperasi seperti jadual sedia dengan masa menunggu antara 2.8 dan 7 minit bergantung kepada pada waktu puncaknya.
“Penumpang diingatkan agar sentiasa patuh pada arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mengamalkan norma baharu ketika menggunakan pengangkutan awam.
Kami menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada media sosial kendalian Prasarana,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana hari ini.
Para pengguna Rapid KL digalakkan aplikasi PULSE untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai perkhidmatan rel dan bas. Aplikasi ini boleh dimuat-turun di Google Play dan Apple Store.