Search
Close this search box.

_

RAPID RAIL TINGKAT KERJASAMA DENGAN PDRM BANTERAS CUBAAN JENAYAH DI STESEN

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Rapid Rail Sdn Bhd menyarankan para pengguna LRT, MRT dan Monorel untuk tidak berlengah dalam melaporkan sebarang aktiviti cubaan jenayah atau kejadian yang mencurigakan di dalam kawasan premis kendaliannya; dan sebaliknya, segera melaporkannya untuk membantu operator pengangkutan awam itu bertindak. 

Ia susulan daripada rakaman video seorang penumpang yang tular di media sosial, yang mendakwa beliau didatangi oleh tiga lelaki yang cuba memperdaya beliau untuk meminta wang. Kejadian ini dilaporkan berlaku di platform Stesen MRT Merdeka pada 2 Mac lepas. 

Pada masa kejadian, Polis Bantuan Prasarana sedang bertugas memeriksa penumpang yang memasuki stesen di aras ruang legar. Hasil semakan kamera litar tertutup menunjukkan ketiga-tiga lelaki berkenaan cuba memperdaya mangsa ketika ketiadaan Polis Bantuan di platform. 

“Untuk membantu para penumpang dan memudahkan pengguna membuat laporan tanpa berlengah, Rapid Rail akan menambah lagi notis-notis pemberitahuan berserta nombor telefon untuk dihubungi di kawasan platform. Ini akan membantu supaya tindakan segera boleh dijalankan. 

“Pengguna juga boleh melaporkan kepada pegawai stesen yang bertugas di dalam kaunter sekiranya ketiadaan anggota Polis Bantuan di kawasan berkenaan kerana sedang melakukan rondaan,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Rapid Rail di sini hari ini. 

Selain itu, Rapid Rail juga akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan pemantauan dan rondaan khususnya di kawasan yang dikenalpasti berpontesi berlakunya jenayah. 

Di samping itu, Pasukan Tindakan Khas (SAT), yang merupakan unit di bawah kendalian Polis Bantuan Prasarana, akan menambah dan melipatgandakan rondaan di dalam tren dan juga di stesen untuk memantapkan kerja-kerja pengawalan sekuriti demi keselesaan dan keselamatan penumpang. 

“Rapid Rail turut akan mengadakan siri kempen cegah jenayah menerusi platform media sosial untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pengguna untuk melakukan tindakan yang perlu sekiranya berhadapan situasi sebegini,” tambah kenyataan itu. 

Language:

Search