KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling menyeru orang ramai agar menghentikan penyebaran video yang memaparkan insiden melibatkan seorang penumpang yang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong pada 3 Jun 2025.
Rapid Rail amat kesal dan memandang serius terhadap penularan video tersebut di platform media sosial dan merayu kepada semua pihak agar tidak terus menyebarkan kandungan sensitif ini sebagai tanda hormat terhadap privasi dan perasaan keluarga mangsa.
Penyebaran video sedemikian bukan sahaja dianggap tidak beretika, malah berpotensi mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak polis. Rapid Rail kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan memastikan segala aspek keselamatan diteliti secara menyeluruh.
Kami turut menyeru orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab. Penyebaran maklumat yang berunsur sensitif boleh menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan spekulasi di kalangan masyarakat, malah turut berisiko memburukkan lagi situasi.