Search
Close this search box.

_

RAPID RAIL PERTINGKATKAN USAHA MITIGASI UNTUK ATASI GANGGUAN PERKHIDMATAN REL

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2023 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Monorel dan operator kepada perkhidmatan MRT di Lembah Klang kini giat menjalankan usaha untuk mengenal pasti serta mengatasi beberapa isu berkaitan operasi rel yang telah mengakibatkan gangguan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Ini susulan beberapa insiden gangguan perkhidmatan yang melibatkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya serta MRT Laluan Kajang dan Putrajaya yang telah mengakibatkan kelewatan jadual perjalanan dan kesesakan di platform.

Siasatan awal atas semua kejadian gangguan mendapati bahawa ia tidak berpunca daripada kegagalan keseluruhan sistem tetapi hanya melibatkan beberapa sub-komponen tertentu.

Selain menggiatkan usaha penambahbaikan, antara langkah mitigasi yang dilakukan oleh Rapid Rail bagi mengatasi gangguan yang dialami termasuk meningkatkan bilangan kakitangan teknikal di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti serta menyediakan alat ganti kritikal di stesen-stesen agar proses baik pulih dapat dilakukan dengan lebih singkat sekali gus mengurangkan tempoh masa gangguan.

Kesemua usaha penambahbaikan yang dilakukan adalah bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pengangkutan berkualiti untuk para pengguna. Ia juga selari dengan komitmen Rapid Rail untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para pengguna perkhidmatan rel sentiasa terpelihara.

Terbaru, pada 29 Mac, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya telah mengalami kelewatan disebabkan gangguan suis landasan di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Damansara Damai. Gangguan tersebut dilaporkan berlaku pada jam 6.57 pagi menyebabkan tren terpaksa bergerak perlahan dan berhenti lebih lama di stesen.

Perkhidmatan bas perantara percuma juga telah disediakan melibatkan 5 buah bas di antara Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Metro Prima. Kerja-kerja baik pulih segera dijalankan oleh kakitangan teknikal Rapid Rail di lokasi dan gangguan suis landasan telah berjaya dipulihkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi.

Rapid Rail sedang bekerjasama dengan pihak turnkey contractor menjalankan pemeriksaan pada semua sistem suis di sepanjang laluan serta menganalisis data bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan isu ini.

Selain kejadian tersebut, terdapat juga beberapa kejadian lain yang berlaku kebelakangan ini yang telah mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan rel. Berikut adalah sorotan kejadian gangguan yang berlaku pada beberapa hari yang lepas:

Pada 28 Mac, di MRT Laluan Kajang, sebuah tren (Nombor 30) telah bergerak perlahan dengan kelajuan 5km/j bermula di Stesen Pasar Seni sehingga Stesen Tun Razak Exchange akibat daripada kegagalan sistem brek. Siasatan awal mendapati terdapat kebocoran angin pada salah satu silinder brek yang menyebabkan brek tersebut tidak dapat dilepaskan. Ini adalah kali pertama kejadian sedemikian berlaku bagi MRT Laluan Kajang.

Tren yang mengalami kerosakan tersebut telah dikeluarkan daripada perkhidmatan dan dibawa pulang ke depoh bagi membolehkan pihak teknikal menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebocoran tersebut.

Sehari sebelum itu, pada 27 Mac, sebuah tren (Nombor 51) di MRT Laluan Kajang telah terhenti secara tiba-tiba akibat kehilangan sumber kuasa. Dalam insiden tersebut berlaku pada jam 8.30 pagi itu, tren tersebut dilaporkan kehilangan sumber kuasa disebabkan kegagalan komponen pada sistem kawalan tren. Rapid Rail kini sedang bekerjasama dengan pihak pengeluar tren untuk menganalisa data terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan komponen tersebut.

Pada hari yang sama juga, gangguan perkhidmatan pada LRT Laluan Kelana Jaya pada jam 6.31 petang di antara Stesen Taman Bahagia dan Stesen Taman Paramount telah dilaporkan. Gangguan tersebut berpunca daripada salah satu komponen Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau ‘Passenger Intrusion Emergency Stop’ (PIES) yang telah tersangkut di bawah tren (Nombor 63) sehingga menyebabkan tren tersebut terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.Siasatan terperinci kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan pada sistem berkenaan.

Pada 23 Mac, MRT Laluan Putrajaya telah mengalami kelewatan pada jadual perjalanan pada jam 5.33 petang akibat suis di landasan yang terletak di antara Stesen Kampung Batu dan Kentonmen tidak berfungsi. Kegagalan tersebut telah menyebabkan waktu menunggu di stesen terbabit bertambah sehingga 7 minit.

Susulan kejadian tersebut, Rapid Rail telah mengarahkan pihak turnkey contractor untuk menjalankan pemeriksaan pada semua Junction Box bagi menyemak dan mengesahkan pemasangan komponen di dalam Junction Box.

Pada 22 Mac, gangguan perkhidmatan telah berlaku pada LRT Laluan Kelana Jaya bermula jam 6.37 petang yang mana sebuah tren tidak dapat dipandu secara automatik dari Stesen Taman Melati menghala ke Stesen Gombak. Siasatan awal mendapati ‘Remote Loop Box’ telah gagal berfungsi akibat kerosakan komponen yang telah disambar petir.

Rapid Rail telah mengambil langkah segera untuk mengatasi isu tersebut dengan meningkatkan ketersediaan alat ganti kritikal di bilik krew berdekatan bagi mengurangkan masa henti (downtime) operasi.

Rapid Rail memohon maaf kepada semua pengguna atas kesulitan yang dialami ketika menempuh waktu gangguan ini dan amat menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya.

Language:

Search