KUALA LUMPUR, 3 Mei – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan MRT Laluan Sg Buloh – Kajang ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh pengguna pagi tadi.
Kelewatan jadual perjalanan berpunca daripada salah sebuah tren mengalami masalah tekanan pada sistem brek di stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn kira-kira pada jam 6.15 pagi.
Tren MRT dilengkapi dengan ciri keselamatan yang tinggi. Apabila tekanan brek rendah atau mengalami masalah, tren akan berhenti dan sistem brek berada dalam keadaan kunci (lock).
Tekanan diperlukan bagi membolehkan sistem brek kembali berfungsi. Insiden pagi tadi memerlukan proses “coupling” atau menunda tren yang mengalami masalah brek dengan tren yang lain. Proses ini memerlukan masa yang agak lama untuk diselesaikan.
Sementara kerja-kerja menunda tren dijalankan oleh jurutera Rapid Rail, pihak pusat kawalan operasi MRT telah mengaktifkan pelan “Alternate Service” di antara stesen Sri Raya ke Stesen Sungai Jernih.
Bas perantara percuma juga turut disediakan bagi melancarkan perjalanan penumpang di antara Stesen Sri Raya dan Stesen Sungai Jernih.
Pengguna dari Stesen Sg Buloh hingga ke Stesen Suntex tidak terjejas dengan gangguan ini.
Tren berkenaan telah berjaya ditunda keluar dan perkhidmatan kembali normal pada jam 7.21 pagi.
Pengguna terjejas telah ditawarkan kupon perjalanan percuma yang diboleh dituntut di semua kaunter MRT Sungai Buloh – Kajang. Kupon ini harus digunakan dalam tempoh lima hari dari hari ini.