Search
Close this search box.

_

RAPID RAIL MENCATATKAN REKOD JUMLAHPENUMPANG HARIAN MELEBIHI ANGKA SEJUTA

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Monorel dan transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang berjaya mencatatkan rekod mengendalikan lebih sejuta penumpang dalam sehari pada 29 Mei 2024 (Rabu), jumlah tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhannya.

Laluan Kelana Jaya mencatatkan bilangan penumpang sebanyak 287,102, Laluan Ampang/Sri Petaling 224,184, Laluan Monorel 61,236, Laluan Kajang 274,302 dan Laluan Putrajaya 157,767 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591 iaitu peningkatan lebih 35 peratus berbanding tarikh sama pada tahun 2023 (739,818).

Lonjakan ini dipacu dengan beberapa inisiatif yang digerakkan seperti proses penambahan kapasiti tren di Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan tren di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi Laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Feb 2024 lalu akibat kerosakan struktur jejambat, serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel.

Selain itu beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang.

Rapid Rail amat berbangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan. Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.

Segala usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Rapid Rail selama ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap lebih baik.

Kesungguhan dan komitmen jurutera dan barisan hadapan Rapid Rail dalam menjalankan kerja-kerja penyelanggaran bagi menyediakan bilangan tren yang

mencukupi serta memastikan kelancaran dan kestabilan perkhidmatan untuk manfaat pengguna.

Kejayaan ini juga merupakan satu perkembangan yang positif selaras dengan visi dan misi syarikat induk Rapid Rail iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam memajukan mobiliti dan memperkayakan pengalaman pengguna pengangkutan awam.

Rapid Rail ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penumpang di atas sokongan berterusan terhadap perkhidmatan yang disediakan. Kejayaan ini akan menjadi titik pengukur baharu untuk Rapid Rail sentiasa menyediakan perkhidmatan yang lebih baik serta dapat menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam pada masa hadapan.

Language:

Search