_

RAPID RAIL MEMPERKUKUH PENYELENGGARAAN & PEMERIKSAAN SUSULAN INSIDEN DI STESEN ABDULLAH HUKUM

 KUALA LUMPUR, 14 MAC 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) ingin menegaskan bahawa keselamatan dan keselesaan para penumpang sentiasa diutamakan dalam setiap aspek operasi kami tanpa sebarang kompromi. 

Sejurus selepas insiden di Stesen Abdullah Hukum pada 12 Mac 2025, pasukan teknikal kami telah menjalankan siasatan terperinci pada tren 84 dan mendapati punca kerosakan adalah pada komponen pengumpul kuasa (power collector) yang patah dan tersangkut ketika tren melalui stesen tersebut. 

Sebagai langkah segera, kami telah meningkatkan pemeriksaan menyeluruh dan penyelenggaraan untuk semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya, dengan tumpuan khusus pada sistem keselamatan utama seperti rangkaian bekalan kuasa dan komponen-komponen mekanikal yang berkaitan, bagi memastikan operasi dan kebolehpercayaan prestasi tren kami berada di tahap yang optimum. 

Antara kerja-kerja pemeriksaan tren dan trek yang sedang giat dijalankan pada masa ini adalah: 

  • Pemeriksaan berjadual menyeluruh ke atas komponen pengumpul kuasa bagi semua tren yang beroperasi di Laluan Kelana Jaya, dengan sasaran penyelesaian sebelum akhir minggu ini.
  • Pemeriksaan menyeluruh ke atas penyambungan rel kuasa (power rail expansion joint) juga sedang dilakukan bagi memastikan ianya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, dan dijangka selesai sepenuhnya pada suku kedua 2025.
  • Bagi memastikan kelancaran operasi, pasukan kejuruteraan telah ditempatkan dilokasi-lokasi yang telah dikenalpasti sepanjang laluan untuk memantau operasi rel.

 Kami juga telah menempatkan pegawai transit di dalam tren untuk membantu memastikan perjalanan yang selamat dan selesa buat semua penumpang. Ini membolehkan pegawai transit kami memberikan bantuan dengan segera dan memastikan sebarang masalah dapat ditangani dengan lebih efisien. 

Rapid Rail memahami bahawa sebarang gangguan boleh memberi kesulitan kepada penumpang kami. Oleh itu, kami berusaha untuk terus memperbaiki serta mempertingkatkan perkhidmatan sejajar dengan matlamat kami untuk memajukan mobiliti dan memperkaya pengalaman. 

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search