KUALA LUMPUR, 13 April 2023 – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit di Lembah Klang akan melanjutkan waktu operasi beberapa stesen rel terpilih pada Sabtu, 15 April 2023 sehingga jam 1.30 pagi. Ia bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin membuat persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Stesen-stesen LRT, MRT dan Monorel yang akan dilanjutkan perkhidmatannya sehingga jam 1.30 pagi adalah seperti berikut:
- LRT Laluan Kelana Jaya: Masjid Jamek dan KLCC
- LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling: Masjid Jamek
- MRT Laluan Kajang: Bukit Bintang
- Laluan Monorel: Bukit Bintang, Raja Chulan, Medan Tuanku dan Chow Kit
Stesen-stesen sambungan akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Manakala stesen- stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, tetapi penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
Penumpang juga diminta menggunakan kad Touch ‘N Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal untuk memudahkan perjalanan.
Berikutan penutupan enam stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petang, perkhidmatan bas perantara LRT 11 juga turut dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi bagi membolehkan pengguna mengakses ke stesen-stesen berkenaan.
Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam. Warga kota disaran menggunakan pengangkutan awam pada hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di dalam pusat bandar.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari laman web: www.myrapid.com.my