KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menjadi operator rel pertama di Malaysia melancarkan Buku Panduan Penggunaan Perkhidmatan Rel Rapid KL sebagai sumber rujukan pengguna rel.
Inisiatif yang digerakkan hasil usahasama Rapid Rail dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan pengangkutan awam yang betul dan selamat khususnya kepada pelancong dan pengguna baru.
Berucap ketika melancarkan buku panduan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Encik Amir Hamdan komited untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa bagi semua pengguna serta memastikan bahawa setiap perjalanan bersama Rapid KL memberi pengalaman yang positif.
Pendekatan Rapid Rail menggunakan grafik dalam buku ini akan memudahkan pemahaman konsep keselamatan dan prosedur tatacara penggunaan pengangkutan awam. Buku panduan ini boleh didapati melalui laman sesawang Rapid KL iaitu www.myrapid.com.my
“Kami yakin bahawa dengan kaedah ini, kandungan serta maklumat yang ingin disampaikan akan menjadi lebih efektif dan bermakna bagi semua pengguna,” ujar beliau.
Buku panduan ini menyediakan garis panduan langkah keselamatan berkenaan pengenalan mengenai jajaran rel Rapid KL, tatacara penggunaan perkhidmatan rel, kemudahan yang disediakan di stesen, serta maklumat berkenaan operasi rel Rapid KL.
Pada majlis yang sama, beliau turut melepaskan para peserta pada acara HSE ExploRail 2024 yang diadakan sempena sambutan bulan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari 2024. Acara yang dilaksanakan dalam bentuk permainan interaktif dan cabaran bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman kakitangan rel terhadap Polisi dan Prosedur berkenaan Kesihatan, Keselamatan & Persekitaran.