KUALA LUMPUR, 3 Jun 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling amat kesal dan berdukacita atas insiden yang menimpa seorang penumpang warganegara Taiwan yang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Pusat Bandar Puchong pada petang tadi dan disahkan meninggal dunia.
Pihak Rapid Rail akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan lanjut serta berhubung dengan pihak kedutaan untuk memastikan bantuan sewajarnya disalurkan kepada waris mangsa.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada jam 5.54 petang tadi dan pasukan yang terlibat dalam operasi menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan perubatan dari Hospital Serdang. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Perkhidmatan tren di Stesen Bandar Puteri, Taman Perindustrian Puchong, Pusat Bandar Puchong dan IOI Puchong Jaya telah kembali beroperasi seperti biasa pada jam 8.52 malam. Berikutan itu, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara yang disediakan sepanjang tempoh gangguan telah ditamatkan.
Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan dan kelewatan perjalanan yang dialami para penumpang susulan insiden ini. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kecemasan ini. Rapid Rail kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna sentiasa menjadi keutamaan.