Search
Close this search box.

_

RAPID RAIL AKAN TERUS PERTINGKAT ININSIATIF UNTUK KESELESAAN GOLONGAN OKU

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Rapid Rail – pengendali operasi LRT, MRT dan monorel negara – akan terus meningkatkan inisiatif bagi memastikan keselesaan dan keselamatan golongan orang kelainan upaya (OKU) selaras dengan misinya untuk menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

Rapid Rail, yang juga anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), akan terus mengadakan sesi audit secara berkala dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan maklum balas yang konstruktif daripada mereka.

Komitmen ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman, yang hari ini menjadi hos kepada rombongan para pelajar golongan kelainan upaya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kajang Utama di Stesen MRT Merdeka di bawah program ‘Santai Bersama Anak-anak Istimewa SMKKU’.

Di bawah program berkenaan, 120 pelajar, guru dan tenaga pengiring diberikan kemasukan percuma untuk menggunakan perkhidmatan MRT di mana mereka telah melawat stesen-stesen Kajang, Merdeka dan Muzium Negara sebelum berpatah balik ke Stesen Stadium Kajang untuk menjamu sate untuk makan tengahari, yang ditaja oleh Sate Haji Samuri, Kajang. 

Turut serta dalam rombongan berkenaan adalah Pengetua SMKKU, Hajjah Norehan Abd. Sani; ,Penolong Kanan Pendidikan Khas SMKKU, Encik Azhar Kamarudin; dan Yang Dipertua PIBG sekolah, Encik Ibrahim Martibi.  

Bagi Rapid Rail dan Prasarana, program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), yang dilaksanakan dari masa ke semasa untuk mengeratkan hubungan Syarikat dengan komuniti khususnya para pengguna perkhidmatan awam.

Berucap pada majlis berkenaan, Dato’ Ir. Zohari berkata kepentingan golongan OKU sentiasa diberi penekanan dalam pengurusan operasi Rapid Rail dan Prasarana, yang meliputi perkhidmatan LRT Laluan Ampang – Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

“Kesemua tren dan stesen-stesen MRT dan juga LRT serta monorel adalah mesra OKU dan kami mengadakan perbincangan secara berkala dengan pihak kementerian, agensi-agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan dengan keselesaan dan kemudahan golongan kelainan upaya.

“Melalui audit ini, Rapid Rail akan terus meningkatkan inisiatif untuk terus menambah-baik lagi fasiliti dan sistem yang sedia ada untuk meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna yang kelainan upaya.

“Begitu juga bas-bas yang dikendalikan oleh Rapid Bus, yang merupakan anak syarikat Prasarana yang secara khusus untuk perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar utama di negara ini. Kesemua bas-bas yang digunakan oleh Rapid KL adalah mempunyai ciri-ciri universal akses sekali gus mesra OKU.

“Ini adalah kerana kami di Rapid KL dan Prasarana percaya untuk menyediakan perkhidmatan berkelas dunia, ianya perlu menitik-beratkan keselesaan semua rakyat termasuk golongan istimewa; walaupun ia menuntut pelaburan yang besar,” kata Zohari.

Di dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan rasa gembira atas sokongan daripada orang ramai terhadap perkhidmatan MRT Sungai Buloh – Kajang, yang telah mencatat lebih 7.4 juta penumpang sejak ia mula beroperasi pada 16 Disember tahun lepas.

“Dengan temasya Sukan SEA ke 29 KL Games ini semakin rancak, saya jangkakan penumpang akan meningkat lagi pada tempoh ini khususnya dengan tawaran promosi 50 peratus potongan untuk tambang sehingga 31 Ogos ini,” tambah beliau.

Dato’ Ir. Zohari Sulaiman (berbaju putih di tengah) bergambar kenangan bersama-sama dengan rombongan pelajar dan guru SMK Kajang Utama di Stesen Merdeka hari ini. 

Language:

Search