KUALA LUMPUR, 9 Januari 2025 – Rapid KL jenama pengendali perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang, hari ini melancarkan tren dan bas bertemakan ikon superhero Malaysia; Mechamato sebagai inisiatif terbaru untuk menarik minat generasi muda, khususnya kanak-kanak berumur enam (6) hingga 12 tahun, serta golongan Generasi Z terhadap ikon budaya pop tempatan sambil merancakkan penggunaan pengangkutan awam.
Inisiatif kolaborasi bersama adiwira Mechamato ini bertujuan meningkatkan kesedaranmengenai penggunaan pengangkutan awam lebih menarik dan pengalaman perjalanan yang menyeronokkan.
Berucap ketika sesi pelancaran, Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail (LRT), Nor Azmi Mohd Yusof, berkata, “Pelancaran tren dan bas pertama bertema Mechamato ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menjadikan pengangkutan awam lebih kreatif dan menarik kepada generasi muda.”
Beliau menambah, inisiatif ini diharapkan dapat memupuk kesedaran tentang kepentingan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan generasi muda dan pada masa sama, mempromosikan hasil karya anak Malaysia kepada masyarakat.
Menerusi kolaborasi ini, sebanyak tiga (3) buah tren dan tiga (3) buah bas dibalut dengan pelekat bertemakan Mechamato.
“Dengan pelancaran tren dan bas bertema ini, Rapid KL berharap dapat menjadikan pengalaman menggunakan pengangkutan awam lebih menarik dan menyeronokkan, selain menarik minat khususnya kanak-kanak yang mungkin belum pernah menggunakan pengangkutan awam,” ujar Azmi lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Monsta, Kee Yong Pin berasa teruja dengan kerjasama bersama Prasarana, dan kini semua berpeluang untuk melihat Mechamato dengan lebih dekat lagi di dalam tren dan bas Rapid KL.
”Kami juga berharap kolaborasi ini dapat menggalakkan lagi penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan keluarga, serta menanam rasa bangga terhadap pencapaian karya tempatan di pentas global,” tambah Yong Pin lagi.
Serentak dengan pelancaran ini, Rapid KL menganjurkan aktiviti Ride & Catch: Robot Hunt with Mechamato bermula dari 7 Januari sehingga 31 Mei 2025. Pengguna Rapid KL yang membeli pas harian MyCity boleh mendapatkan pasport ‘stamp-rally’ khas di stesen terpilih. Dengan mengumpul sekurang-kurangnya 12 cop dari 15 stesen, pengguna berpeluang menebus hadiah eksklusif MechaTrain selepas memburu robot jahat.
Nota: Stesen yang bertanda (*) adalah stesen untuk penebusan Pasport dan Hadiah.
Sesi bertemu peminat bersama Mechamato di stesen terpilih bakal berlangsung sepanjang bulan Januari hingga Mei 2025. Tarikh dan lokasi sesi ini akan dimaklumkan menerusi platform media sosial Rapid KL. Aktiviti ini diadakan bagi memberi peluang peminat berfoto bersama adiwira kegemaran mereka serta mengajak orang ramai menyertai keseronokan aktiviti Ride & Catch: Robot Hunt with Mechamato.
Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran para pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (2). Rapid KL berharap kempen seperti ini dapat meningkatkan jumlah pengguna bas dan rel terutamanya dalam kalangan generasi muda dan orang kelainan upaya (OKU) kerana semua fasiliti Rapid KL bersifat universal akses yang mesra OKU.
Untuk sebarang pertanyaaan atau maklumat lanjut mengenai kempen ini dan jadual aktiviti, sila layari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my/mechamato atau ikuti media sosial Rapid KL.