KUALA LUMPUR, 8 Jun – Rapid KL hari ini melancarkan kempen ‘Selesa dan Selamat Bersama Rapid KL’ atau 2S sebagai satu lagi inisiatif besarnya untuk memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam; yang akan dipacu oleh program Duta Rel dan penawaran Pelan Perlindungan Hospital atau ‘Hospital Protection Plan’ (HPP) percuma selama tiga bulan dalam satu kolaborasi dengan syarikat insurans antarabangsa American International Group Malaysia Insurance Berhad (AIG).
Majlis pelancaran penuh signifikan itu diadakan di Stesen MRT Batu, yang merupakan salah sebuah stesen baru MRT Laluan Putrajaya. Kempen 2S adalah selaras dengan aspirasi Rapid KL untuk menarik lebih ramai warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam; sekali gus menjadi pemacu mobiliti lestari di kalangan rakyat Malaysia.
Melancarkan kempen berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Azharuddin Mat Sah berharap inisiatif-inisiatif baru daripada pengendali pengangkutan awam terbesar negara itu akan mengukuhkan lagi keyakinan orang ramai orang untuk kembali menggunakan pengangkutan awam, selaras dengan peralihan ke fasa endemik COVID-19.
“Stesen MRT Batu ini dipilih bagi memberi pandangan sepintas lalu perkhidmatan fasa 1 MRT Laluan Putrajaya, yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Jun 2022. Laluan terbaharu ini menghubungkan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen Batu dan Stesen Kepong Sentral di samping rangkaian rel Rapid KL yang lain, sekaligus melengkapkan rangkaian keseluruhan perkhidmatan rel di Greater Kuala Lumpur yang merupakan salah satu agenda dalam memacu ekonomi negara,” kata Azharuddin dalam ucapan perasmian beliau.
DUTA REL RAPID KL
Di bawah program Duta Rel atau Rail Ambassador, Rapid KL memberi penekanan baru dalam pengaliran informasi maklumat untuk para pelanggan menerusi penggunaan aplikasi PULSE, yang dibangunkan oleh Prasarana bukan sahaja untuk membantu para penumpang merancang perjalanan, tetapi juga menjadi rakan dalam merancang rutin kehidupan gaya baharu khususnya tentang program dan acara menarik di sekitar bandaraya termasuk kempen-kempen promosi dengan rakan-rakan perniagaannya.
Pegawai Perkhidmatan Pelanggan dan pengurus-pengurus stesen akan bertindak sebagai duta kepada para penumpang dan mereka boleh dikenalpasti dengan mudah dengan pemakaian selempang dan topi ‘ASK ME’.
Dimulakan sejak 17 Mei 2022, seramai 1,218 Duta Rel Rapid KL di 19 buah stesen telah mula bertugas dan dilatih secara khusus untuk mewakili Rapid KL dalam interaksinya dengan para penumpang. Antara lain, Duta Rel Rapid KL akan berkongsi maklumat terbaru tentang produk, perkhidmatan dan rangkaian rel dan bas; memberi bantuan daripada segi maklumbalas, aduan ataupun cadangan penambahbaikan.
19 stesen itu adalah Masjid Jamek, IOI Puchong Jaya, Bandar Tasik Selatan, Bandaraya dan Maluri untuk Laluan Ampang; Stesen KL Sentral, Pasar Seni, Wangsa Maju, KLCC dan Subang Jaya untuk Laluan Kelana Jaya; stesen-stesen Bukit Bintang, Imbi, KL Sentral dan Hang Tuah untuk Laluan Monorel; serta 5 stesen Laluan Kajang iaitu Bukit Bintang, Maluri, Pasar Seni, Muzium dan Cochrane.
Program Duta Rel Rapid KL akan dikembangkan kesemua 149 stesen di sepanjang rangkaian rel dan hab bas terpilih Rapid KL dalam masa 7 bulan.
PELAN PERLINDUNGAN HOSPITAL
Melalui kolaborasi dengan AIG Malaysia, Rapid KL menawarkan Pelan Perlindungan Hospital atau Hospital Protection Plan’ (HPP) percuma untuk kepada 50,000 orang penumpang yang berjaya memohon dan mendaftar menerusi applikasi mudahalih PULSE bermula daripada 16 Jun 2022 serentak dengan pembukaan Fasa 1 MRT Laluan Putrajaya.
Dengan perlindungan yang diberikan menerusi HPP, para penumpang pengangkutan awam kendalian Rapid KL yang memegang polisi HPP akan mendapat elaun tunai harian sebanyak RM50 setiap sehari jika dimasukkan ke hospital sehingga 14 hari disebabkan Penyakit Berjangkit Tertentu.
Bercakap di majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif AIG Malaysia, Encik Antony Lee berkata pemberian pelan perlindungan ini merupakan satu inisiatif yang sangat istimewa kerana menjadi satu insentif yang baik untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam darat, khususnya mereka yang bekerja di sekitar Lembah Klang.
Rapid KL menyeru orang ramai untuk bersama-sama menjayakan aspirasi Kerajaan dan menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam di samping menggunakan aplikasi PULSE untuk kemudahan dan pelbagai manfaat lain termasuk perlindungan percuma HPP. Para penumpang juga dijemput untuk berinteraksi dengan Duta Rel Rapid KL untuk mendapatkan segala maklumat yang diperlukan bagi perjalanan yang selesa dan selamat.