KUALA LUMPUR, 27 Jun 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan Rapid KL On-Demand, akan melancarkan empat (4) zon baharu bermula 30 Jun 2025 ini, termasuk kawasan tumpuan tinggi di ibu kota dan koridor pendidikan utama, sebagai langkah strategik untuk memudahkan mobiliti bandar.
Salah satu zon utama yang diperkenalkan adalah zon “Central Business District” (CBD) atau pusat bandar, yang merangkumi kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, iaitu Jalan Imbi, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan.
Zon | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
CBD Kuala Lumpur | 9 | Rapid On-Demand |
MRT UPM – IOI City Mall | 2 | Rapid On-Demand |
LRT Kelana Jaya – Taman SEA/Damansara Jaya | 2 | Rapid On-Demand |
LRT Gombak – Taman Selaseh/IIUM | 3 | Rapid On-Demand |
Pengenalan perkhidmatan On-Demand ke kawasan ini bertujuan untuk menyediakan perhubungan “last-mile” yang lebih lancar dan responsif bagi pengguna yang bergerak dari stesen-stesen rel atau hentian bas utama ke destinasi akhir mereka dalam pusat bandar. Dengan kepadatan trafik dan kesesakan parkir di kawasan ini, perkhidmatan menjadi penyelesaian mobiliti mikro yang mesra pengguna dan menyokong usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar berorientasikan pengangkutan awam (transit-oriented city).
Selain pusat bandar, liputan turut diperluas ke zon koridor pendidikan, melibatkan kawasan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), dan sekolah-sekolah di sekitarnya. Usaha ini memudahkan akses harian para pelajar, pensyarah dan kakitangan ke institusi pendidikan mereka dengan lebih selamat, terancang dan fleksibel.
“Pengenalan zon-zon baharu ini adalah bukti komitmen kami dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja inklusif, tetapi juga responsif terhadap keperluan sebenar pengguna. Zon pusat bandar kami dirancang untuk menyelesaikan isu “first/last-mile” yang sering dihadapi oleh pengguna di kawasan paling sibuk dalam negara, manakala zon pendidikan pula menyasarkan kemudahan harian untuk golongan pelajar dan warga akademik,” kata Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad.
Tambah beliau, “Pelancaran ini merupakan pelancaran kedua terakhir sebelum kesemua 300 buah van Rapid KL On-Demand beroperasi sepenuhnya menjelang awal Julai 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting ke arah sistem pengangkutan awam yang lebih lestari dan menyeluruh.”
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Sebagai galakkan untuk lebih ramai pengguna mencuba dan terus menggunakan perkhidmatan ini, tambang promosi serendah RM1.00 bagi setiap perjalanan terus dikekalkan.
Para pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad debit atau kredit
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Tempahan perjalanan kini lebih mudah! Muat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store dan nikmati kemudahan terus dari telefon pintar. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my