_

RAPID KL ON-DEMAND PERKENAL SISTEM PEMBAYARAN TERBUKA BERMULA 27 MAC 2025 

  •  Fasa pertama bagi tujuh (7) zon yang dilancarkan hari ini 

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam bas di Lembah Klang, Pulau Pinang serta Kuantan memperkenalkan mod pembayaran baharu melalui sistem pembayaran terbuka bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 27 Mac 2025. 

Penggunaan sistem pembayaran terbuka ini akan disediakan secara berperingkat dan dimulakan dengan tujuh (7) zon yang dilancarkan pada hari ini. Kesemua 20 van yang beroperasi bagi zon-zon baharu hari ini akan dilengkapi dengan mesin pengimbas bagi sistem pembayaran terbuka menggunakan kad debit atau kredit. 

Kaedah pembayaran baharu ini bertujuan untuk memberi kemudahan dan meningkatkan kecekapan proses pembayaran bagi para pengguna. Dengan pilihan pembayaran baharu ini, pengguna tidak perlu risau jika baki kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Ini secara langsung turut meningkatkan lagi pengalaman pelanggan terhadap perkhidmatan Rapid KL. 

Bagi van yang telah pun beroperasi sebelum ini, kerja-kerja mengintegrasi sistem pembayaran terbuka ini akan berlangsung secara berperingkat dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Mei 2025. 

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand kini telah beroperasi di 37 zon dengan 110 van secara keseluruhan bagi Rapid KL serta Rapid Penang. Menjelang Jun 2025, 320 buah van akan beroperasi untuk kesemua 101 zon -zon operasi yang telah dirangka. 

Perkhidmatan ini telah mula diperkenalkan dengan nama Demand Responsive Transit (DRT) pada Mei 2023 dan telah dijenamakan semula sebagai Rapid KL On-Demand pada Februari 2025. 

Awalnya perkhidmatan ini diperkenalkan bagi menggantikan perkhidmatan bas dari laluan yang mempunyai kadar penumpang harian yang rendah untuk tidak perlu menunggu ketibaan bas dalam tempoh masa yang lama.

Kini, seiring dengan permintaan dari para pengguna, perkhidmatan ini telah menjadi perkhidmatan sokongan bagi laluan-laluan yang utama, menyediakan kesalinghubungan serta hentian yang lebih dinamik untuk menghubungkan para pengguna ke destinasi mereka.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my 

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search