- Empat laluan baharu diperkenalkan mulai 1 Februari 2025
CHERAS SELATAN, 28 Januari – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal memperkenalkan empat (4) laluan baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 1 Februari 2025, yang meliputi kawasan-kawasan berikut:
Kod Laluan | Laluan | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
---|---|---|---|
T650B | Taman Desa – Jalan Klang Lama | 2 | Trek Rides |
T850B | LRT Bangsar – Taman Bandaraya | 2 | Trek Rides |
T512B | MRT Putrajaya Sentral – Presint 11 | 2 | Kummute |
T250B | Taman Genting Setapak – Setapak | 4 | Kummute |
Laluan T850B (LRT Bangsar – Taman Bandaraya) dan T512B (MRT Putrajaya Sentral – Presint 11) akan terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL. Kesalinghubungan ini amat penting bagi membolehkan pengguna Rapid KL menyambung perjalanan mereka dengan rangkaian rel dan bas.
Manakala perkhidmatan bagi laluan T650B (Taman Desa – Jalan Klang Lama) dan T250B (Taman Genting Setapak – Setapak) akan menggunakan lorong bas di Jalan Klang Lama serta Jalan Genting Kelang. Ini membolehkan penumpang meneruskan perjalanan dengan bas Rapid KL dan sebaliknya.
“Kami masih mengekalkan perkhidmatan bas Rapid KL di kawasan-kawasan ini, dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang baharu ini akan dapat menyokong capaian bas dengan hentian lebih dinamik. Purata waktu menunggu juga adalah lebih pendek, sekitar 10 minit,” kata Ku Jamil Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus.
Perkhidmatan ini yang yang dahulunya dikenali sebagai Demand Responsive Transit atau Rapid DRT, telah dijenamakan semula dengan panggilan Rapid KL On-Demand. Langkah ini bagi memposisikan jenama dan produk agar lebih relevan kepada para pengguna. Ia selari dengan konsep operasi yang berasaskan tempahan dan memberi kebebasan kepada pelanggan untuk merancang perjalanan mereka.
Sejak diperkenalkan pada Mei 2023, perkhidmatan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang berkembang kepada sembilan (9) laluan dengan 20 van pada Ogos 2024, dan berjaya mencatatkan purata peningkatan jumlah penumpang harian sebanyak 59 peratus, iaitu daripada 1,271 kepada 2,023 penumpang.
Ku Jamil berkata lagi, “Kami akan turut menambahbaik sembilan (9) laluan yang kini telah mempunyai sebanyak 203 hentian. Bermula 1 Februari nanti juga, sebanyak 50 peratus hentian di laluan-laluan ini akan ditambah secara berkala mengikut keperluan komuniti sekitar.”
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Pas Perjalanan Tanpa Had: My50, MyCity dan Pas Famili
- Kad Touch ‘n Go
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas OKU Smile
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my