KUALA LUMPUR, 28 April 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara MRT/LRT dan Rapid KL On-Demand kini menyokong kesalinghubungan dengan perkhidmatan rel lain seperti KTM Komuter dan KLIA Transit bermula 30 April 2025.
Antara tujuh zon yang akan mula beroperasi pada 30 April ini adalah :
Zon | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
KTM Kajang – Jalan Reko | 3 | MOBI |
KTM UKM – UKM | 3 | MOBI |
Bandar Tasik Kesuma – Bandar Rinching | 3 | MOBI |
KTM Bangi – Bandar Bukit Mahkota | 3 | MOBI |
MRT 16 Sierra – Taman D’Alpinia | 2 | KUMMUTE |
LRT Putra Heights – Rimbayu/Bandar Saujana Putra | 2 | KUMMUTE |
Stesen Salak Tinggi KLIA Transit – Kota Warisan | 4 | KUMMUTE |
Zon baharu ini merupakan kesalinghubungan pertama yang memberikan manfaat kepada para pengguna KTM Komuter serta KLIA Transit khususnya dari sekitar Kajang, Bangi dan Salak Tinggi untuk menyambung perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, “Kali ini sambungan perjalanan bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang bakal dilancarkan pada Rabu ini akan memberi kemudahan kepada para pengguna yang menggunakan perkhidmatan awam selain dari rangkaian perkhidmatan bas dan tren oleh Rapid KL. Ini adalah satu inisiatif bagi memberikan pengalaman penumpang dari segi perancangan perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir yang lebih efisien”.
Sejak perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini diperkenalkan pada Januari 2024, 34 zon telah beroperasi di sekitar Lembah Klang dan akan terus diperluas bagi menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama bagi Rakyat Malaysia. Sehingga 17 April 2025, purata jumlah penumpang harian tertinggi telah mencecah 7,442 orang.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah dengan menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan masing-masing) dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad debit atau kredit
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Sistem pembayaran terbuka juga tersedia bagi melancarkan lagi perjalanan para pengguna. Selain itu, tambang promosi RM1 terus dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmati perkhidmatan ini. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my