- Kesalinghubungan dengan semua lorong bas
- Penambahan van untuk menampung permintaan penumpang
KUALA LUMPUR, 25 Mac 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan tujuh (7) lagi zon operasi baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand pada 27 Mac 2025.
Antara zon yang akan mula beroperasi pada 27 Mac ini adalah
Laluan | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
Kampung Ampang Indah – Taman Sri Watan | 4 | TREK RIDES |
Ampang Hilir – Kampung Datuk Keramat | 4 | TREK RIDES |
LRT Ampang – Ampang Jaya | 4 | TREK RIDES |
MRT Putrajaya Sentral – Presint 14 & 16 | 2 | KUMMUTE |
MRT Putrajaya Sentral – Putrajaya International Convention Centre (PICC) | 2 | KUMMUTE |
MRT Putrajaya Sentral – Cybersouth / Dengkil | 2 | KUMMUTE |
Desa Pinggiran Putra – Dataran Gemilang Putrajaya | 2 | KUMMUTE |
Zon–zon operasi di atas yang menggunakan aplikasi Trek Rides merupakan laluan yang mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan tren serta lorong bas Jalan Ampang. Sebelum ini hanya lorong bas Jalan Genting Kelang dan Jalan Klang Lama sahaja yang mempunyai capaian kepada perkhidmatan ini. Kini kesemua pengguna lorong bas boleh menikmati serta meneruskan perjalanan dengan Rapid KL On-Demand.
Bagi para pengguna dari Putrajaya, kini lebih banyak pilihan laluan tersedia melalui aplikasi KUMMUTE yang bakal menghubungkan anda ke destinasi yang ingin dituju dan rata-rata merupakan kawasan yang tiada capaian perkhidmatan awam disediakan.
Selain itu, Rapid KL On-Demand akan menambahbaik perkhidmatan di zon–zon yang telah dilancarkan pada 10 Mac lalu dengan penambahan jumlah van bagi setiap zon untuk menampung permintaan penggunaan yang semakin meningkat,
Laluan | Jumlah Van Sedia Ada | Jumlah Penambahan |
Taman Melati – Gombak Setia | 2 | 1 |
Wangsa Maju – Sri Rampai | 3 | 1 |
Titiwangsa – Chow Kit | 3 | 1 |
Bukit Antarabangsa – Setiawangsa | 2 | 1 |
Bangi – UNITEN | 2 | 1 |
Bandar Kinrara – Jalan Puchong | 3 | 1 |
Taman OUG – Kuchai Lama | 3 | 1 |
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria berkata, “Sejak dilancarkan pada 10 Mac lalu, laluan-laluan tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan dan pihak Rapid Bus membuat keputusan untuk menambah jumlah van ke dalam operasi harian untuk ketujuh-tujuh laluan terbabit.”
Ku Jamil turut menyatakan, “Ini adalah untuk memastikan perkhidmatan ini memudahkan para pengguna serta memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk merasai pengalaman menggunakan Rapid KL On-Demand.”
Sejak perkhidmatan Rapid KL On-Demand ini diperluaskan ke 17 zon baharu bermula 1 Februari 2025, jumlah penumpang harian tertinggi yang dicatatkan telah menjangkau 4,732 orang pengguna setakat 18 Mac 2025. Tambahan lagi, menjelang pelancaran zon-zon baharu pada 27 Mac nanti, Rapid KL On-Demand beroperasi dengan sejumlah 93 van di 33 zon di sekitar Lembah Klang.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah dengan menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan masing-masing) dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan dilanjutkan untuk para pengguna.
Para pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan:
- Kad Touch ‘n Go
- Kad Konsesi MyRapid
- Pas Perjalanan OKU Smile
- Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili)
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my