Search
Close this search box.

_

RAPID KL BUKA KLINIK AL FATIHAH SEMPENA RAMADHAN

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Mengambil berkat daripada bulan Ramadan Al Mubarak, Rapid KL membuka satu klinik khas di Stesen LRT Masjid Jamek untuk memantapkan bacaan surah Al Fatihah sebagai satu program saham akhirat dan sebagai satu lagi aktiviti berterusan menyuntik keceriaan di stesen-stesen tren kendalian Rapid Rail Sdn Bhd.

Bergandingan dengan pentadbir Masjid Jamek Kuala Lumpur, yang menyediakan tenaga pakar untuk mendengar, mengulas dan memantapkan bacaan surah berkenaan, kaunter Klinik Al-Fatihah itu dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

Dibuka selama empat jam antara pukul 2 hingga 6 petang pada hari-hari bekerja antara hari Isnin dan Jumaat, kaunter yang menyediakan perkhidmatan percuma itu akan dibuka antara pukul 10 pagi hingga 6.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad serta hari-hari cuti umum. Ia terletak di ruang ‘Concourse’, Stesen LRT Masjid Jamek, Laluan Kelana Jaya. 

“Solat adalah tiang kepada agama dan surah Al Fatihah adalah Ummu Kitab serta rukun terpenting dalam solat, yang menjadi amalan terbesar di kalangan orang-orang Islam. Justeru itu, Rapid KL LRT Laluan Kelana Jaya mengambil inisiatif ini untuk membantu para pengguna kami yang beragama Islam.

“Program ini juga diharapkan untuk meningkatkan lagi kesedaran di kalangan orang Islam mengenai kepentingan dan kehebatan Al Quran. Tentunya, tenaga pengajar dari Masjid Jamek itu akan turut sudi menjawab persoalan-persoalan lain tentang ugama Islam khususnya dalam pembacaan Al Quran,” kata Tuan Haji Ismail Abdullah, Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya.

Katanya, stesen Masjid Jamek dipilih untuk program berkenaan kerana ia adalah antara stesen paling sibuk untuk Laluan Kelana Jaya di samping lokasinya berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Lumpur. 

Selain kaunter Al-Fatihah, stesen-stesen LRT dan monorel Rapid KL turut menyediakan juadah berbuka puasa yang berupa air minuman dan kurma untuk para pelanggan Islam yang masih dalam perjalanan ketika masuk waktu berbuka puasa. 

“Di stesen-stesen LRT Masjid Jamek, Taman Melati, Gombak dan Bandar Tasik Selatan, kami turut menyediakan kaunter membayar zakat; manakala di Stesen LRT Ara Damansara pula, Rapid KL membuka bazaar Ramadan untuk mengadakan jualan juadah berbuka puasa dan pakaian Hari Raya di samping penganjuran program-program khas untuk memeriahkan Ramadan. 

“Ini semua adalah antara program-program yang dijalankan secara secara berterusan di stesen-stesen LRT selaras dengan aspirasi menyuntik keceriaan di stesen-stesen kami di samping pelbagai aktiviti-aktiviti komersial,” tambah beliau.

Selain kaunter Klinik Al Fatihah, stesen LRT Masjid Jamek juga adalah lokasi tetap untuk program ‘Arts on The Move’ di mana persembahan seni dan kebudayaan diadakan pada hari Selasa dan Khamis memperagakan pelbagai bentuk persembahan.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App