KUALA LUMPUR, 12 Mei 2023 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku operator perkhidmatan bas Rapid KL di Lembah Klang akan melancarkan perkhidmatan bukti konsep (Proof of Concept – POC) bas perantara on-demand bagi laluan T789 (LRT Universiti – Universiti Malaya melalui Pantai Hillpark), yang akan mula beroperasi pada 15 Mei 2023 sehingga 14 Ogos 2023.
POC ini merupakan kolaborasi antara Rapid Bus dan Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd, pemilik Trek Rides, sebuah aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing tempatan di sekitar Lembah Klang. Kolaborasi strategik ini adalah inisiatif Rapid Bus dalam menyediakan kesalinghubungan first-last mile yang lebih menyeluruh kepada para pengguna perkhidmatan bas Rapid KL.
“Pelaksanaan POC ini adalah untuk mengoptimumkan sumber yang kita ada dalam menyediakan perkhidmatan bas yang terbaik. Sebagai contoh, POC bagi laluan T757 (LRT Alam Megah – Shah Alam) yang telah dilancarkan sebelum ini, terbukti berjaya dan diterima baik oleh para penumpang. Kini, kami telah menggantikan penggunaan sebuah bas dengan sebuah van untuk laluan ini.”
Dengan adanya perkhidmatan sebegini, kita boleh bergerak mengikut permintaan sekaligus dapat menjimatkan sumber sedia ada,” kata Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus.
Yazurin turut menyatakan, “Bas yang ditetapkan untuk laluan ini boleh beroperasi di laluan lain yang mempunyai permintaan yang lebih tinggi.”
Perkhidmatan ini menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah melalui aplikasi Trek Rides. Dengan tambang RM1.00, penumpang boleh membayar menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, Kad Touch n’ Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas Berkumpulan dan MyCity Pass untuk membayar tambang dengan mudah.
“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Rapid Bus bagi memperkenalkan perkhidmatan ini kepada para pengguna Rapid KL,” kata Ramachandran Muniandy, Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi memenuhi kehendak dan keperluan warga bandar,” tambah beliau.
Bas perantara on-demand ini beroperasi setiap hari dari jam 6.30 pagi sehingga 11.30 malam. Perkhidmatan ini juga menawarkan masa perjalanan yang lebih singkat dan penumpang boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih efisyen, kerana mereka boleh memilih waktu tempahan dengan lebih mudah.
Untuk maklumat lanjut berkenaan POC Rapid KL x Trek Rides, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my