KUALA LUMPUR, 2 Mac – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan projek perintis percubaan (pilot project) penguatkuasaan lorong bas di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bermula semalam (1 Mac) di koridor Jalan Ipoh.
Bakal berlangsung selama dua bulan sehingga 30 April, inisiatif berkenaan adalah untuk mengurangkan masa perjalanan dan menilai tahap pengalaman perjalanan di samping keselamatan penumpang perkhidmatan bas Rapid KL melalui kebolehlaksanaan penggunaan laluan bas berkenaan. Lorong bas ini beroperasi setiap hari bermula jam 6.00 pagi hingga 8.00 malam (kecuali hari minggu dan cuti umum).
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh operator bas berkenaan hari ini, antara jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi.
Bagi projek perintis percubaan ini, laluan bas Rapid KL yang beroperasi dan terlibat di jalan-jalan terbabit adalah seperti berikut:
1. Laluan 171: Hab Wira Damai – Lebuh Ampang via Sentul.
2. Laluan 173: Taman Jasa Utama – Lebuh Ampang.
3. Laluan 180: Taman Dato’ Senu – Hab Pasar Seni.
4. Laluan 190: Hab Desa Sri Hartamas – Lin Jo Jalan Lekiu.
5. Laluan 191: Terminal Sri Segambut – Monorel Chow Kit.
“Projek perintis percubaan ini adalah usahasama bagi memudahkan pergerakan bas Rapid KL untuk tiba ke destinasi dengan lebih cepat tanpa perlu bersesak dengan kenderaan lain; sekali gus menjimatkan masa para penumpang. Secara tidak langsung, ia juga dapat menjamin keselamatan pengguna perkhidmatan bas Rapid KL ketika menaiki atau turun dari bas kerana dapat berhenti di perhentian bas yang dikhaskan; tanpa kemungkinan ada kenderaan persendirian berhenti atau meletakkan kenderaan mereka di perhentian bas atau bahu jalan.
‘Ini juga dapat mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan pengguna perkhidmatan bas dengan kenderaan persendirian apabila bas terpaksa berhenti di tengah jalan bagi menurunkan atau mengambil penumpang; sejajar dengan prinsip operasi Rapid Bus yang senantiasa menitikberatkan keselamatan pengguna perkhidmatan bas Rapid KL,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Encik Mohammad Yazurin Sallij.
Beliau berharap sepanjang tempoh projek printis percubaan ini dilaksanakan, para pengguna jalan raya lain akan mematuhi peraturan dan tidak menggunakan lorong berkenaan.
‘Diharapkan dengan adanya projek perintis percubaan ini, lebih ramai orang awam akan menggunakan perkhidmatan bas Rapid KL sebagi mod pengangkutan pilihan untuk ke destinasi mereka di samping meningkatkan lagi kepercayaan mereka terhadap perkhidmatan bas Rapid KL,” tambah beliau.
Para penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL serta aplikasi PULSE di telefon pintar anda. Kami akan mengemas kini maklumat terbaharu bagi memudahkan para penumpang merancang perjalanan anda.