Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN TREN & BAS PRASARANA BEROPERASI SEPERTI BIASA

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Semua perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa esok, yang merupakan hari pertama berkuatkuasa perintah pergerakan terhad seluruh negara selama 14 hari yang diumumkan oleh Kerajaan semalam sebagai langkah mencegah merebaknya wabak gejala COVID-19.

“Perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling; MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, Laluan Monorel, Bas Rapid Transit Laluan Sunway dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung akan bermula operasi seperti biasa dengan jadual kekerapan hari bekerja. Bagaimanapun, pemantauan akan dibuat kemudian untuk memastikan kesesuaian jadual kekerapan yang digunakan.

“Memandangkan perintah pergerakan terhad ini diarahkan buat pertama kali, kami perlu memastikan kekerapan yang sesuai kerana belum dapat memastikan jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami pada hari esok dan sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Encik Muhammad Nizam Alias dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum apa jua keputusan diambil berhubung dengan kekerapan perjalanan tren dan bas kendalian Prasarana itu.

Encik Muhammad Nizam turut mengesahkan bahawa Pusat Konsesi Hab Bas Pasar Seni akan dibuka seperti biasa untuk kemudahan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar dan warga emas mendapatkan diskaun 50 peratus untuk perjalanan mereka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Rapid KL, orang ramai boleh melayari akaun twitter dan Instagram serta web Facebook @myrapid. Mereka juga boleh menelefon Talian HOTLINE di 603-78852585.

Language:

Search