PULAU PINANG, 10 Mac – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang akan meluaskan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand atau sebelum ini dikenali sebagai perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) dengan penambahan tiga (3) laluan baharu serta dua (2) buah van tambahan bagi laluan sedia ada yang akan beroperasi mulai 15 Mac 2025.
Laluan-laluan baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pengangkutan awam di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta kawasan baharu yang masih belum mempunyai akses kepada pengangkutan awam. Antaranya adalah:
Kod Laluan | Laluan | Jumlah Van | Aplikasi Tempahan |
---|---|---|---|
T110B | Gurney dan Tg. Bungah | 6 | Kummute |
T710B | Sunway dan Butterworth | 6 | Kummute |
T211B | Paya Terubong | 1 | Kummute |
Laluan-laluan ini turut menghubungkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir (first and last mile) penumpang dengan rangkaian perkhidmatan Rapid Penang yang sedia ada, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di negeri ini.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, berdasarkan permintaan yang menggalakkan, Rapid Bus merancang menempatkan sejumlah lima puluh (50) buah van secara berperingkat sepanjang tahun ini untuk perkhidmatan di Pulau Pinang.
Langkah strategik ini bertujuan bagi menggalakkan orang awam beralih kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih fleksibel dan efisen.
Laluan sedia ada, T210B (Farlim dan Air Itam) yang telah dilancarkan pada 1 Ogos 2024 lalu akan turut ditambahbaik dengan penambahan dua (2) buah van, menjadikan jumlah keseluruhan empat (4) buah van. Penambahbaikan ini adalah bertujuan menampung permintaan tinggi serta mengurangkan waktu menunggu para penumpang dari 17 minit ke 10 minit.
Sejak laluan ini beroperasi, purata jumlah penumpang harian adalah 137 orang penumpang, melebihi sasaran awal iaitu purata 100 orang penumpang harian. Secara kumulatif, jumlah penumpang laluan ini telah mencecah lebih 26,000 orang penumpang sejak tujuh (7) bulan beroperasi.
Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam dan perkhidmatan ini boleh ditempah melalui aplikasi Kummute. Penumpang masih boleh menikmati tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan dan akan melaksanakan mod pembayaran tanpa tunai seperti berikut:
- Pas Mutiara My50
- Kad Debit/Kredit
- DuitNow QR
- Pas OKU Smile
- e-Dompet
Pelaksanaan mod pembayaran tanpa tunai akan bermula pada 13 Mac 2025 bagi laluan sedia ada (T210B – Farlim dan Air Itam), diikuti dengan tiga (3) laluan baharu yang akan diperkenalkan mulai 15 Mac 2025.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, boleh melayari laman media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my