- Tujuh (7) zon baharu mulai 31 Mei 2025
PULAU PINANG, 27 Mei 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang akan memperluaskan perkhidmatan Rapid Penang On-Demand menerusi fasa Proof of Concept (POC) selama tiga (3) bulan bermula 31 Mei 2025.
Tujuh (7) zon yang telah dikenal pasti berdasarkan permintaan penduduk tempatan, kepadatan populasi, keperluan untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan liputan perkhidmatan laluan bas sedia ada, adalah seperti berikut:
- Zon Alma: 4 buah van – Zon ini akan beroperasi di kawasan yang berkepadatan penduduk yang tinggi serta mempunyai kekerapan bas yang rendah. Ia dapat menghubungkan penumpang dengan laluan bas sedia ada seperti 708 (Bukit Mertajam – Junjung), 801 (Penang Sentral – Nibong Tebal) dan 802 (Bukit Mertajam – Nibong Tebal).
- Zon BM City: 3 buah van – Pelaksanaan perkhidmatan ini tertumpu di pusat bandar Seberang Perai Tengah yang akan memberi penyelesaian bagi capaian batuan pertama dan terakhir serta menerusi kesalinghubungan yang lebih baik dengan rangkaian bas sedia ada iaitu 606 (Bukit Mertajam – Kepala Batas), 701 (Bukit Mertajam – Penang Sentral), 702 (Bukit Mertajam – Penang Sentral), 707 (Bukit Mertajam – Taman Pelangi), 708 (Bukit Mertajam – Junjung), 709 (Penang Sentral – Machang Bubuk), 802 (Bukit Mertajam – Nibong Tebal) dan CT14 (Bukit Mertajam- Komtar).
- Zon Bayan Baru: 3 buah van – Zon ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta dapat menghubungkan penumpang di kawasan yang tidak mempunyai liputan pengangkutan awam dan menyediakan akses ke perkhidmatan bas laluan sedia ada seperti laluan 301 (Weld Quay – Relau), 302 (Weld Quay – Batu Maung), 303 (Weld Quay – Bukit Gedung), 304 (Persiaran Gurney – Bukit Gedung),306 (Hospital – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), 308 (Sungai Nibong – Gertak Sanggul), 401 (Weld Quay – Teluk Kumbar), 401E (Weld Quay – Balik Pulau) dan CT13 (Bayan Baru – Seberang Jaya).
- Zon Bertam: 2 buah van – Zon ini menghubungkan penumpang dengan laluan bas sedia ada iaitu laluan 601 (Penang Sentral – Kepala Batas), 606 (Bukit Mertajam – Kepala Batas) dan 610 (Kepala Batas – Tasek Gelugor) bagi membantu mengurangkan waktu menunggu bagi laluan tersebut.
- Zon Balik Pulau: 2 buah van – Perkhidmatan di zon ini akan memberi penyelesaian bagi capaian batuan pertama dan terakhir dengan bas laluan sedia ada iaitu laluan 401E (Balik Pulau – Weld Quay), 403 (Balik Pulau – Pulau Betong), 404 (Balik Pulau- Pantai Acheh) dan 502 (Pekan Genting, Balik Pulau – Weld Quay).
- Zon Transkrian / Nibong tebal: 2 buah van – Zon ini akan beroperasi khususnya di kawasan Transkrian bagi menghubungkan komuniti setempat dengan jaringan perkhidmatan bas Rapid Penang laluan 801 (Nibong Tebal – Penang Sentral), 802 (Nibong Tebal – Bukit Mertajam) dan EB80 (Parit Buntar – Penang Sentral).
- Zon Batu Kawan: 3 buah van – Zon ini merupakan kawasan perindustrian, komersial dan hab kediaman baharu yang masih belum mempunyai jaringan pengangkutan awam di sekitarnya. Kini para penumpang boleh mengakses ke laluan 708 (Bukit Mertajam – Junjung), 801 (Nibong Tebal – Penang Sentral) dan 802 (Nibong Tebal – Bukit Mertajam) melalui perkhidmatan ini.
“Sepanjang tempoh POC ini, Rapid Bus akan memantau corak permintaan dan penggunaan bagi memastikan perkhidmatan sentiasa relevan dan menepati keperluan. Penambahbaikan akan dilaksana berdasarkan hasil penilaian dan maklum balas penumpang,” kata Amir Hamdan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad.
Sehingga pertengahan bulan Mei 2025, perkhidmatan ini telah beroperasi di 6 zon dengan 31 buah van. Kadar purata harian seramai 1,828 orang telah dicatatkan dan ini menunjukkan penerimaan baik di kalangan penumpang. Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam. Penumpang akan menikmati tawaran tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan.
Perkhidmatan Rapid Penang On-Demand beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 11.00 malam. Penumpang akan menikmati tawaran tambang promosi serendah RM1.00 untuk setiap perjalanan.
Penumpang boleh melihat hentian-hentian yang ada di dalam zon-zon tersebut serta membuat tempahan perkhidmatan ini melalui aplikasi Kummute. Kaedah pembayaran seperti berikut:
- Pas Mutiara My50
- Kad Debit/Kredit
- DuitNow QR
- Pas OKU Smile
- e-Dompet
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, boleh melayari laman media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my