_

PERKHIDMATAN RAPID KL ON-DEMAND DIPERLUAS DENGAN PENGENALAN ENAM LALUAN BAHARU 

CHERAS SELATAN, 14 Februari 2025 – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal memperluaskan jaringan rangkaian perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan pengenalan enam (6) laluan baharu bermula 17 Februari 2025. 

Laluan-laluan baharu ini meliputi kawasan strategik yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, lokasi yang belum mempunyai kemudahan pengangkutan awam serta mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan rel Rapid KL. 

Laluan baharu ini meliputi kawasan berikut: 

Kod LaluanLaluanJumlah VanAplikasi Tempahan
T772BSaujana Utama/Elmina – Jalan Kuala Selangor 3MOBI
T752BPutra Heights – LRT Putra Heights 3MOBI
T640BTaman Medan – Jalan Klang Lama 4MOBI
T821B Pantai Sentral – LRT Universiti 2Trek Rides
T400BBandar Tun Razak – Taman Midah 4Trek Rides
T252BDanau Kota – Jalan Genting Kelang 4Kummute

Laluan T752B (Putra Heights – LRT Putra Heights) dan T821B (Pantai Sentral – LRT Universiti) merupakan laluan yang terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL. 

Manakala laluan T252B (Danau Kota – Jalan Genting Kelang) dan T640B (Taman Medan – Jalan Klang Lama) akan menggunakan lorong bas Jalan Genting Kelang dan Jalan Klang Lama. Ini membolehkan pengguna meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas Rapid KL di laluan tersebut. 

Khabar gembira buat warga sekitar Saujana Utama dan Elmina di mana mereka boleh menikmati perkhidmatan Rapid KL On-Demand yang kini tersedia dengan laluan T772B (Saujana Utama/Elmina – Jalan Kuala Selangor). Selain itu, perkhidmatan ini juga akan meluaskan rangkaian perkhidmatan di kawasan Bandar Tun Razak dengan laluan T400B yang menghubungkan pengguna ke kawasan Taman Midah. 

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria berkata, pengenalan enam laluan baharu ini adalah kesinambungan kejayaan pengenalan empat laluan baharu yang telah diperkenalkan pada 1 Februari lalu. 

Ia merangkumi laluan di sekitar Taman Desa, Taman Genting Setapak, Putrajaya Sentral dan Bangsar. Setelah hampir setengah bulan beroperasi, perkhidmatan ini berjaya mencatatkan jumlah penumpang lebih dari 1,700 pengguna setakat hari ini. 

Secara keseluruhan, perkhidmatan ini telah beroperasi di 13 buah laluan di Lembah Klang, yang menawarkan jaringan perkhidmatan baharu kepada para pengguna bagi melengkapkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir (first mile last mile). 

“Rapid Bus akan menambah laluan baharu secara berperingkat sejajar dengan penerimaan van-van baharu. Inisiatif ini adalah usaha berterusan Rapid Bus dalam menyediakan servis baharu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” ujar Ku Jamil lagi 

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dengan menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute (mengikut kawasan masing-masing) dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan: 

  • Pas Perjalanan Tanpa Had: My50, MyCity dan Pas Famili 
  • Kad Touch ‘n Go 
  • Kad Konsesi MyRapid 
  • Pas OKU Smile 

Tambang promosi RM1 dilanjutkan untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya yang belum pernah untuk mencuba dan merasai servis baharu ini. Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web www.myrapid.com.my. 

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search