KUALA LUMPUR, 10 Disember 2020 – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan MRT Laluan Kajang (dahulunya dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) ingin memaklumkan terdapat gangguan perkhidmatan bagi Laluan MRT Kajang seawal jam 2.07 pagi tadi.
Gangguan perkhidmatan tersebut adalah berpunca daripada sistem semboyan yang telah mengalami kerosakan. Ini telah menyebabkan sistem-sistem lain yang berkaitan turut terjejas.
Walau bagaimanapun, perkhidmatan tren masih boleh mula beroperasi pada jam 6.00 pagi, dengan kelajuan minima di sepanjang laluan.
Bahagian teknikal perlu membuat pemeriksaan rapi untuk setiap rangkaian suis di sepanjang laluan, dan mereka perlu melakukan tetapan semula pada setiap suis untuk mendapatkan kembali status normal bagi peralatan yang terletak di trek.
Siasatan lanjut akan dijalankan bersama “Original Equipment Manufacturer”(OEM) sistem semboyan untuk mengenal pasti punca kejadian pada pagi ini.
Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan mulai jam 6.00 pagi untuk membawa penumpangdari Stesen MRT Kajang ke Stesen MRT Stadium Kajang, Sungai Jernih dan Bukit Dukung. Dan perkhidmatan bas percuma telah ditamatkan pada 9.00 pagi.
Pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren danstesen serta di rangkaian media sosial Rapid KL.
Perkhidmatan MRT Laluan Kajang kembali pulih sepenuhnya pada jam 9.34 pagi.
Rapid KL memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku.
Sidang media tidak dapat dijalankan seperti biasa berikutan perkembangan semasa situasi COVID-19 serta pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.