Search
Close this search box.

_

Rail Featured image for push notification

PERKHIDMATAN MONOREL TERGANGGU KERANA KEBAKARAN TAYAR

KUALA LUMPUR, 24 Disember – Perkhidmatan monorel Rapid KL terganggu pagi ini apabila satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh satu tren empat gerabak telah meletup dan kemudiannya terbakar; dipercayai kerana tekanan angin tayar yang rendah.

“Tiada penumpang yang cedera kerana semua selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum kebakaran itu berlaku kira-kira 7.15 pagi ini,” menurut satu kenyataan Rapid Rail, pengendali perkhidmatan Laluan Monorel Rapid KL.

Menurut kenyataan berkenaan, pasukan Bomba dan Penyelamat tiba pada jam 7.25 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.56 pagi.

Untuk kemudahan para pelanggan, perkhidmatan tren ulang-alik (alternate train shuttle service) diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuah. Pada masa yang sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambathan dan Maharajalela.

“Tren berkenaan ditunda keluar daripada Stesen Maharajalela pada jam 10.59 pagi ke Depoh untuk siasatan lanjut. Para penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel KL.

Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku,” tambah kenyataan itu.

Language:

Search