Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT STESEN BUKIT JALIL DILANJUTKAN SEMPENA PIALA AFF SUZUKI

KUALA LUMPUR, 29 November — Untuk dua Sabtu berturut-turut, perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sebagai sokongan kepada para peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan saingan peringkat pertama separuh akhir Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Suzuki antara pasukan negara dan musuh tradisi Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menjangkakan kehadiran yang lebih tinggi daripada perlawanan lepas ketika menentang Myanmar, para peminat disarankan menggunakan kemudahan pengangkutan awam khususnya LRT Laluan Sri Petaling yang akan membawa mereka terus ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

LRT Laluan Sri Petaling berintegrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen LRT Putra Heights dan Masjid Jamek; serta berintegrasi dengan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang di Stesen MRT Merdeka, yang berhubung dengan Stesen LRT Plaza Rakyat. Ia juga berhubung dengan perkhidmatan KTM Komuter di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan; sekali gus menjadikan penggunan pengangkutan rel urban sebagai opsyen terbaik untuk keselesaan dan kemudahan ke Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Langkah terbaik untuk para peminat adalah menggunakan fasiliti parkir dan gerak (park ‘n ride) di sepanjang Laluan Sri Petaling khususnya di stesen stesen Putra Heights, Awan Besar, Muhibbah, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan lalu meneruskan perjalanan menggunakan LRT ke Bukit Jalil.

“Bersempena perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini, stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi. Stesen-stesen LRT dan MRT lain akan ditutup seperti biasa tetapi memberi laluan untuk semua penumpang untuk keluar di stesen-stesen berkenaan dan meneruskan perjalanan masing-masing. Para penumpang boleh bertukar laluan di stesen-stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat/Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT; atau di Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya. 

“Para penumpang juga boleh bertukar ke Laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen integrasi Pasar Seni,” menurut satu kenyataan Rapid Rail, pengendali operasi perkhidmatan LRT dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

Rapid Rail turut menyarankan para peminat menggunakan kad perjalanan MyRapid dan Touch ‘n Go untuk perjalanan lancar di stesen-stesen bagi menggelakkan daripada beratur panjang membeli token perjalanan di mesin-mesin penjualan tiket.

“Alternatif lain adalah membeli token untuk perjalanan pulang sebaik saja sampai di Stesen LRT Bukit Jalil dan menggunakannya untuk perjalanan pulang. Namun, anda perlu memastikan token berkenaan tidak hilang ketika berada di stadium,” tambah kenyataan itu.

Pasukan Harimau Malaya layak ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki AFF apabila mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Myanmar pada perlawanan Sabtu lepas di Bukit Jalil, yang disaksikan oleh 83,777 penonton, yang sebahagian besar daripada mereka datang menggunakan perkhidmatan LRT.

Jumlah penonton dijangka lebih besar pada Sabtu ini ekoran langkah Persatuan Bolasepak Malaysia untuk mengurangkan harga tiket perlawanan bagi memastikan Malaysia membawa bekalan kemenangan pada saingan separuh akhir kedua, yang bakal berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok, Thailand pada 5 Disember ini.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti hebahan di Facebook rapidkl atau layari laman web www.myrapid.com.my.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App