Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT, MRT, MONOREL DIPERAKUI BERKELAS DUNIA DENGAN SIJIL ISO9001:2015

SUBANG, 28 Disember – Perkhidmatan LRT, MRT dan monorel, yang dikendalikan Rapid Rail Sdn Bhd – hari ini menerima persijilan ISO terkini daripada SIRIM QAS International sekali gus mengesahkan kualiti perkhidmatan-perkhidmatan rel urban negara itu adalah berkelas dunia.

Ketika menerima pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 di pejabatnya di sini hari ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman berkata pengiktirafan daripada badan akreditasi itu mengukuhkan lagi status Rapid Rail dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai penyedia perkhidmatan berkelas dunia berdasarkan pelbagai anugerah-anugerah antarabangsa yang diterima pada masa-masa lepas.

Pengiktirafan antarabangsa terbaru yang diterima oleh Prasarana adalah daripada European Society for Quality Research (ESQR), yang menganugerahkan buat kali kedua berturut-turut an Anugerah Berlian Antarabangsa bagi Kecemerlangan Kualiti di Vienna pada 9 Disember lepas. Ia dianugerahkan atas kecemerlangan Prasarana menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan metro haji di Arab Saudi.

Mengulas penerimaan Sistem Pengurusan Kualiti ISO9001:2015 itu, Zohari berkata persijilan berkenaan mengantikan sijil ISO9001:2008, yang telahpun dimiliki oleh Rapid Rail sejak beberapa tahun lepas.

“Kami di Rapid Rail sentiasa meningkatkan dan memantapkan sistem pengurusan, tahap kemahiran dan tahap kualiti dalam apa jua kami lakukan bagi memastikan perkhidmatan berkualiti kepada para pelanggan kami. Syarat-syarat untuk sijil baru ISO9001:2015 adalah jauh lebih ketat; tetapi kami tetap gigih untuk mencapai piawaian yang diperlukan.

“Bagi saya, pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini amat bermakna kerana keistimewaan badan ini sendiri. Bukan saja ia adalah badan akreditasi nasional, yang diiktiraf oleh Jabatan Standards Malaysia, tetapi juga oleh UKAS, yang merupakan badan akreditasi antarabangsa,” kata Zohari.

Beribupejabat di Britain, UKAS atau United Kingdom Accreditation Service adalah badan akreditasi yang menilai kewibawaaan organisasi yang memberikan perakuan dan pengiktiraf untuk persijilan, ujian, pemeriksaan dan perkhidmatan kalibrasi (calibration).

Berucap pada majlis berkenaan, wakil SIRIM QAS International, Puan Nor’afiza Saim, berkata persijilan yang dikeluarkan oleh organisasinya diiktiraf di 37 negara lain, yang berpayung di bawah IQNet, atau International Certification Network, yang berpengkalan di Switzerland.

Kata beliau, sebagai rakan kongsi kepada IQNet, sistem pengurusan persijilan yang dilaksanakan oleh SIRIM QAS International diperakui di serata dunia; sekali gus memberi faedah

kepada perkhidmatan dan hasil produk para penerima persijilannya untuk memasuki pasaran  antarabangsa. 

“Berdasarkan kepada pengalaman kami dalam memberikan pensijilan sistem pengurusan  kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor, ianya bukanlah perkara mudah untuk memenuhi keperluan pensijilan sistem pengurusan ISO 9001 dan melaksanakannya dalam organisasi. 

“Pensijilan ISO 9001:2015 yang diterima oleh Rapid Rail hari ini tidak akan terhasil tanpa  wujudnya komitmen tinggi, yang diberikan oleh pihak pengurusan dan seluruh warga kerja Rapid Rail,” kata Nor’afiza, yang merupakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan SIRIM QAS International. 

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang/Sri  Petaling, Abdul Hadi Amran dan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Kelana Jaya, Haji Ismail Abdullah dan para pegawai tinggi Rapid Rail lain.

Dato’ Ir. Zohari Sulaiman menerima sijil ISO9001:2015 daripada Puan Nor’afiza Saim.

Language:

Search