Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT LALUAN KELANA JAYA TERJEJAS AKIBAT TREN TERKANDAS DI STESEN TAMAN JAYA (KEMASKINI)

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Susulan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang terjejas pada pagi tadi, pihak Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa ia disebabkan oleh tren bernombor 39 yang terkandas di Stesen LRT Taman Jaya.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 8.16 pagi tadi, setelah Pusat Kawalan Operasi mendapati terdapat kemungkinan sistem brek pada tren tersebut mengalami masalah teknikal ketika ia sedang di dalam perkhidmatan.

Pasukan jurutera terlatih yang tiba di lokasi telah melakukan penilaian awal kerosakan dan usaha telah dilakukan untuk pembaikan. Namun setelah penilaian dilakukan terhadap sistem brek, didapati terdapat cecair hidraulik yang bocor.

Pasukan kedua daripada Jabatan Kejuruteraan dikejarkan ke tempat kejadian dengan membawa peralatan khas dari depoh dan landasan terpaksa ditutup kerana proses pembaikan perlu dilakukan di bawah tren.

Pihak operasi kemudiannya mengaktifkan pelan perkhidmatan alternatif di mana penumpang dari arah Gombak dan Putra Heights perlu turun di Stesen LRT Asia Jaya dan menaiki tren yang berikutnya bagi meneruskan perjalanan. Ini adalah kerana hanya satu sahaja landasan boleh digunakan di antara Stesen LRT Taman Bahagia sehingga Stesen LRT Taman Jaya.

“Kami ingin memohon maaf kepada semua pengguna yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi khususnya ke tempat kerja pada pagi tadi. Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan tren. Ini bagi memastikan kejadian seumpama ini dapat dielakkan di masa hadapan,“ kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, En Amir Hamdan.

Pengumuman mengenai kelewatan perkhidmatan tren turut dibuat di stesen dan di dalam tren. Kakitangan operasi dan Polis Bantuan ditempatkan di platform Stesen LRT Asia Jaya bagi membantu penumpang mendapatkan tren sambungan.

Perkhidmatan pulih sepenuhnya pada jam 1.26 petang setelah kerja-kerja mengalihkan tren yang terkandas selesai.

Mengikut rekod penyelenggaraan, Tren 39 telah menjalani beberapa siri pemeriksaan berjadual. Kali terakhir tren ini diselanggara adalah pada 28 April 2022 dan ia disahkan selamat untuk beroperasi.

Para penumpang diminta untuk mendapatkan informasi terkini mengenai perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi platform media sosial Rapid KL atau aplikasi perancang perjalanan Pulse by Prasarana. Sebarang status akan dikemaskini secara terus untuk memudahkan penumpang merancang perjalanan.

Mereka yang terlibat dengan insiden ini boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala yang perlu ditebus dalam masa 5 hari daripada hari ini. Pengguna yang belum menuntut kupon ini boleh hadir ke mana-mana kaunter LRT Rapid KL bagi mendapatkan kupon tersebut.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App