Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING: PERKHIDMATAN OPERASI TREN DI ENAM STESEN LRT DIAKTIFKAN SEMULA

Kerja-kerja pembaikan sementara struktur jejambat dan landasan selesai.

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2023 – Perkhidmatan operasi tren di enam stesen LRT yang melibatkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada pengguna bermula 6.00 pagi pada 12 Mei 2023.

Ini adalah susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai.

Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren – tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini.

Operasi perkhidmatan LRT di enam stesen yang dinyatakan ini telah diberhentikan sejak 2 April 2023. Ini adalah kerana tren – tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari 2023.

Serentak dengan pembukaan stesen-stesen tersebut, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan.

Kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober 2023 dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal.

Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terlibat.

Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan.

Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit.

Penumpang – penumpang juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif yang mana penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel KL melalui Stesen Titiwangsa.

Manakala penumpang yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki MRT Laluan Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.

Anggota operasi rel dan Polis Bantuan Prasarana akan ditempatkan di stesen – stesen terlibat bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App