Kekerapan tren berkurangan kepada setiap 12 minit
KUALA LUMPUR, 23 Februari 2023 – Perkhidmatan LRT di antara stesen Sentul Timur dan stesen Bandaraya kini beroperasi dengan kekerapan setiap 12 minit ekoran beberapa tren yang terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.
Semenjak 27 Januari 2023, sebanyak lima buah tren digunakan di antara stesen-stesen tersebut. Disebabkan kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen Bandaraya, tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
Tiga daripada lima buah tren tersebut terpaksa dikeluarkan kerana tidak lagi memenuhi kriteria operasi. Kini, jumlah tren yang dapat beroperasi adalah sebanyak dua buah tren sahaja.
Bagi menampung dan mengendalikan penumpang-penumpang yang terjejas, perkhidmatan bas perantara (LRT11) di antara stesen Sentul Timur dan Bandaraya diaktifkan bermula waktu puncak petang ini . Sepuluh buah bas akan digunakan bagi perkhidmatan ini.
Perkhidmatan bas perantara LRT11 ini akan berhenti di stesen-stesen Sentul Timur, Sentul, Titiwangsa, PWTC, Sultan Ismail dan Bandaraya. Perjalanan sehala menaiki bas perantara dari Sentul Timur ke Bandaraya dijangka mengambil masa selama 30 minit.
Bagi mengawal pergerakan penumpang di stesen dan platform, anggota operasi rel, anggota Polis Bantuan dan Troopers akan ditempatkan di stesen-stesen yang terlibat.
Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan memohon maaf di atas segala kesulitan. Kesabaran para penumpang amat kami hargai.