Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT ANTARA STESEN AMPANG DAN STESEN CAHAYA KEMBALI PULIH PADA JAM 8.44 PAGI

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Rapid Rail Sdn Bhd selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling ingin memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang di antara Stesen Ampang ke Stesen Cahaya adalah disebabkan oleh litar kawalan kuasa yang terputus, sekaligus menghalang bekalan kuasa utama yang diperlukan untuk menggerakkan tren.

Disebabkan bekalan kuasa yang terputus seawal jam 4.00 pagi ini, perkhidmatan tren di antara Stesen Ampang dan Stesen Cahaya, yang terletak bersebelahan antara satu sama lain, tidak dapat beroperasi seperti biasa. Kakitangan teknikal telah bergegas untuk menyambung kembali bekalan kuasa tersebut secara manual.

Sehubungan dengan itu, pada jam 7.15 pagi, pihak pusat kawalan operasi telah menyediakan 4 buah bas perantara percuma bagi membawa penumpang dari Stesen Ampang ke Stesen Cahaya dan sebaliknya. 

Daripada Stesen Cahaya, penumpang boleh meneruskan perjalanan ke pusat bandar atau destinasi mereka dengan menggunakan perkhidmatan “shuttle train” dari Stesen Cahaya ke Stesen Chan Sow Lin. 

Bekalan kuasa telah kembali pulih pada jam 8.33 pagi, dan perkhidmatan kembali normal pada jam 8.44 pagi. Sepanjang gangguan perkhidmatan, kakitangan Rapid KL mengawal pergerakan dan membantu penumpang untuk mengelak kesesakan di platform dan stesen. Selain itu, pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren serta stesen.

Para penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling. 

Rapid KL kesal dengan insiden yang telah terjadi dan memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku. Sidang media tidak dapat dijalankan seperti biasa berikutan perkembangan semasa situasi COVID-19 serta pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Language:

Search