Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT ANTARA PUTRA HEIGHTS DAN TAMAN PERINDUSTRIAN PUCHONG KEMBALI PULIH JAM 9.03 PAGI

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling, ingin memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling di antara Stesen Putra Heights ke Stesen Taman Perindustrian Puchong adalah disebabkan oleh gangguan bekalan kuasa eletrik yang terputus; sekaligus menghalang bekalan kuasa utama yang diperlukan untuk menggerakkan tren.


Ekoran bekalan kuasa terputus seawal jam 5.35 pagi ini, perkhidmatan tren di antara Stesen Putra Heights ke Stesen Taman Perindustrian Puchong tidak dapat beroperasi seperti biasa. Perkhidmatan bas perantara percuma telah disediakan untuk menampung ketiadaan sementara perkhidmatan rel berkenaan.

Bekalan kuasa telah kembali pulih pada jam 8.40 pagi dan perkhidmatan kembali normal pada jam 9.03 pagi. Sepanjang gangguan perkhidmatan, kakitangan Rapid KL mengawal pergerakan dan membantu penumpang untuk mengelak kesesakan di platform dan stesen. Selain itu, pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren serta stesen di sepanjang Laluan Ampang/ Sri Petaling serta di Laluan LRT Kelana Jaya, MRT Kajang dan Monorel KL juga.

Rapid KL kesal dengan insiden yang telah terjadi dan memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku. Sidang media tidak dapat dijalankan seperti biasa berikutan perkembangan semasa situasi COVID-19 serta pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Language:

Search