Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT ANTARA BANDAR TASIK SELATAN DAN SUNGAI BESI KEMBALI PULIH JAM 3.20 PETANG

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling, ingin memaklumkan bahawa terdapat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling di antara Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Sungai Besi seawal jam 8.55 pagi tadi.


Gangguan ini adalah disebabkan oleh plat pemungut bekalan kuasa atau ‘collector shoe’ pada salah sebuah tren laluan berkenaan telah patah dan seterusnya menyebabkan kerosakan pada rel bekalan kuasa ketiga atau ‘third rail power’. Ini, sekaligus, menghalang bekalan kuasa utama yang diperlukan untuk menggerakkan tren di antara stesen tersebut. Sejurus menerima laporan, kakitangan teknikal telah bergegas untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, perkhidmatan tren di antara Stesen Bandar Tasik Selatan ke Stesen Sungai Besi tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Perkhidmatan bas perantara percuma di antara Stesen Bandar Tun Razak ke Stesen Bukit Jalil dan perkhidmatan tren perantara dari Stesen Bukit Jalil ke Stesen Chan Sow Lin telah disediakan untuk membantu penumpang meneruskan perjalanan mereka semasa ketiadaan perkhidmatan tren tersebut.

Bekalan kuasa telah kembali pulih pada jam 3.00 petang dan perkhidmatan kembali normal pada jam 3.20 petang . Sepanjang gangguan perkhidmatan, kakitangan Rapid KL mengawal pergerakan dan membantu penumpang untuk mengelak kesesakan di platform dan stesen. Selain itu, pengumuman berterusan turut dibuat di dalam tren serta stesen di sepanjang Laluan Ampang/ Sri Petaling serta di Laluan LRT Kelana Jaya, MRT Kajang dan Monorel KL juga.

Rapid KL kesal dengan insiden yang telah terjadi dan memohon maaf atas kesulitan yang telah berlaku. Sidang media tidak dapat dijalankan seperti biasa berikutan perkembangan semasa situasi COVID-19 serta pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Language:

Search