- -Perkhidmatan tren di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur kembali normal
- -Perkhidmatan bas perantara percuma ditamatkan
KUALA LUMPUR, 22 Februari 2025 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan tren di Stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur kembali normal pada jam 11.00 pagi tadi. Berikutan itu, perkhidmatan bas perantara telah ditamatkan dan perkhidmatan tren kini beroperasi seperti biasa.
Kejadian yang berlaku pada jam 7.45 pagi tadi melibatkan seorang penumpang yang telah terjatuh di kawasan landasan Stesen LRT Titiwangsa.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Kuala Lumpur telah tiba di lokasi kejadian pada jam 8.27 pagi. Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.
Pihak Rapid Rail akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan susulan kejadian tersebut dan meningkatkan pemantauan di stesen–stesen.
Rapid Rail turut ingin memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat daripada kejadian dan kelewatan perjalanan yang berlaku pada pagi tadi.