KUALA LUMPUR, 14 April 2023 – Berita baik buat semua pengguna perkhidmatan bas Skip Stop Xpress! Bermula 17 April 2023, bukti konsep (Proof of Concept – POC) Laluan DS01 akan diserapkan sebagai salah satu laluan tetap dalam perkhidmatan bas Rapid KL.
Laluan DS01 adalah perkhidmatan bas di koridor Ampang dengan perjalanan lebih singkat serta hentian yang terhad, dari Stesen LRT Ampang ke Ampang Park dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Perkhidmatan ini beroperasi pada hari Isnin sehingga Jumaat pada waktu puncak pagi iaitu dari 6:30 pagi sehingga 10:00 pagi dan pada waktu puncak petang iaitu dari jam 4:30 petang sehingga 7:00 malam.
Perkhidmatan tersebut telah mencatatkan jumlah penumpang yang amat memberangsangkan sejak mula beroperasi pada 16 Mei 2022 iaitu 54,000 dengan purata penumpang harian sebanyak 400 orang.
Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, “Perkhidmatan ini merupakan salah satu inisiatif dan strategi untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar pusat bandar. Ianya memenuhi kiriteria utama penumpang iaitu hentian yang terhad dan penjimatan masa perjalanan sebanyak 15 minit yang bersamaan dengan 50% daripada keseluruhan masa perjalanan.”
Tambang yang ditawarkan sebanyak RM1.10 adalah berpatutan jika dibandingkan dengan memandu kenderaan sendiri. Penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 dan kad Touch n’ Go.
Walaubagaimanapun, mereka yang memandu kenderaan persendirian boleh menggunakan ruang meletak kereta Park & Ride di LRT Ampang sebelum meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas.
Dengan perkhidmatan ini, kesalinghubungan pertama dan akhir (first-last mile connectivity) dapat ditambah baik bagi pengguna pengangkutan awam dari komuniti Bukit Indah, Bandar Baru Ampang, Taman Dagang, Mulia Jaya, Lembah Jaya, Pandan Indah.