Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN BAS PERANTARA ON-DEMAND T757 BUAT WARGA SHAH ALAM

SHAH ALAM, 10 Februari 2023 – Berita baik untuk penduduk Shah Alam! Pembuktian konsep (Proof of Concept POC) bas perantara ‘On DemandRapid KL x Kumpool yang sebelum ini beroperasi di Wangsa Maju dan Setapak kini bakal diperkenalkan di Shah Alam.

Perkhidmatan ‘On Demand’ yang meliputi kawasan sekitar Alam Megah, Shah Alam akan dikenali dengan nama laluan T757 dan bakal beroperasi selama tiga (3) bulan mulai 13 Februari 2023 sehingga 12 Mei 2023.

POC ini merupakan kolaborasi antara Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dan Handal Indah Sdn Bhd, pemilik Kumpool, sebuah aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, “POC sebelum ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan di Wangsa Maju dimana seramai 26,813 penumpang telah menggunakannya sepanjang tempoh 4 bulan ia dilaksanakan. Ini menunjukkan penyediaan kesalinghubungan ‘first-last mile’ yang lebih menyeluruh adalah amat penting. Sehubungan itu, Rapid Bus mengambil keputusan untuk memperkenalkan perkhidmatan sebegini di kawasan yang mempunyai kadar penumpang yang agak rendah,”

Masih mengekalkan tambang sebanyak RM1.00, perkhidmatan ini turut menawarkan jaminan tempat duduk selepas tempahan dibuat. Penumpang juga boleh menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50, kad Touch n’ Go, serta Pas Keluarga Malaysia (yang hanya sah pada hujung minggu dan cuti umum) sebagai mod pembayaran ketika menggunakan perkhidmatan ‘On Demand’ ini.

Bas perantara ‘On Demand’ ini akan beroperasi setiap hari dari jam 6.30 pagi sehingga 11.30 malam. Selain itu, hentian yang tersedia juga lebih banyak dan tidak tertakluk kepada hentian bas laluan T757 sedia ada di Alam Megah. Perkhidmatan ini juga menawarkan masa perjalanan yang lebih singkat kerana ia tidak perlu melalui kesemua hentian sekiranya tiada tempahan.

Menggunapakai model perniagaan yang sama seperti sebelum ini di Wangsa Maju, para penumpang bebas memilih masa perjalanan mereka dengan hanya perlu membuat tempahan melalui aplikasi Kumpool di telefon pintar. Ini memudahkan penumpang merancang perjalanan dengan lebih efisien mengikut keperluan mereka.

Buat permulaan, perkhidmatan ‘On Demand’ ini akan beroperasi seiring dengan perkhidmatan bas perantara LRT laluan T757 selama dua minggu. Ini bagi membolehkan penumpang membiasakan diri dengan perkhidmatan ‘On Demand’ T757 sebelum perkhidmatan bas perantara T757 diberhentikan untuk sementara waktu.

Pemberhentian sementara operasi bas perantara ini akan digantikan dengan perkhidmatan ‘On Demand’ sepenuhnya, bagi menguji keberkesanan POC tersebut serta memberi ruang kepada perkhidmatan laluan ini untuk ditambahbaik.

Tambah Yazurin lagi, “Perkhidmatan ini dapat memenuhi keperluan penumpang serta memberi ruang kepada para penumpang yang ingin menggunakan pengangkutan awam dengan ketetapan masa yang lebih fleksibel dan tidak perlu menunggu lama.”

Untuk maklumat lanjut berkenaan POC Rapid KL x Kumpool ini, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my.

Language:

Search